FOLLOW HIJABUL CREWZ

Rabu, 12 Oktober 2011

Penafian Neil Armstrong Memeluk Agama Islam

Satu dunia mengenali Neil Armstrong, angkasawan pertama yang menjejakkan kaki di bulan. Tepat jam 10.56 malam pada 20 Julai 1969, satu sejarah yang tidak pernah dibayangkan manusia dicipta angkasawan berkenaan. Sembilan belas minit kemudian, Edwin Aldrin menyertai Armstrong, manakala Michael Collins mengawal pesawat induk, Columbia.Sebelum itu, pada 16 Julai 1969, jam 9.32 pagi waktu timur Amerika Syarikat (AS), ketiga-tiga angkasawan AS itu menaiki roket Saturn V dan berlepas ke angkasa lepas dari Cape Kennedy, Florida. Peristiwa itu disaksikan lebih 600 juta manusia, satu peristiwa paling ramai ditonton dalam sejarah televisyen!



“Itu adalah langkah kecil bagi seorang lelaki, tetapi satu loncatan jauh bagi manusia keseluruhannya,” kata Armstrong sebaik menjejakkan kaki ke permukaan bulan.

Armstrong, 79, yang pernah berkunjung ke Malaysia sempena Forum Kepemimpinan Global di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 2007.

Sejak sejarah itu tercipta 36 tahun lalu, masih ada yang menganggap projek Apollo 11 satu penipuan. Pentadbiran Aeronautik dan Pentadbiran Kebangsaan (Nasa) AS dikatakan tidak berkeupayaan menghantar angkasawan ke bulan. Sebaliknya angkasawan berkenaan dikatakan ‘mendarat’ di atas sebuah pentas khas rahsia yang terletak 342 kilometer dari Las Vegas.

“Projek Apollo 11 adalah secara menyeluruh dan dijalankan dengan sedaya-upaya. Ia juga terlalu sukar. Malah, ia projek paling lama dan termahal. Namun, perkara yang lebih menyukarkan ialah apabila ia dikatakan satu penipuan.

“Dalam penerbangan kapal angkasa, kami tidak mempunyai pilihan, tetapi perlu berhadapan risiko sebenar. Kami percaya kami boleh menyelesaikan misi yang dianggap mustahil oleh sebahagian besar masyarakat,” kata Armstrong yang menyifatkan permukaan bulan seperti arang.

Selain itu, cerita menarik mengenai Armstrong ialah apabila beliau dikatakan sudah memeluk Islam. Ia sudah tersebar sejak 15 tahun lalu dan Armstrong dikatakan mendengar azan ketika di bulan yang mendorong beliau memeluk Islam.

Dalam satu temu bual baru-baru ini, Armstrong menafikan beliau sudah memeluk Islam.

“Soalan ini sudah ditanya kepada saya sejak 15 tahun lalu. Sebagai menghormati rakan Islam, saya sebenarnya tidak pernah memeluk Islam,” katanya.

Menurut Armstrong, cerita itu mengatakan dia berkunjung ke Mesir dan terdengar azan dari sebuah masjid. Dia kemudian dikatakan bertanya kepada seorang lelaki tujuan azan dilaungkan. Apabila lelaki itu mengatakan ia adalah panggilan supaya umat Islam mengerjakan sembahyang, Armstrong serta-merta membuat keputusan memeluk Islam. Malah, dia dikatakan disuruh kerajaan AS supaya merahsiakannya kerana beliau seorang lelaki popular waktu itu.

“Itu semua tidak benar. Malah, saya tidak pernah pergi ke Mesir sepanjang hidup saya,” katanya.

Armstrong yang dilahirkan pada 5 Ogos 1930 di Ohio, AS mula teruja dengan penerbangan sejak kanak-kanak. Malah, dia mula mengikuti kelas penerbangan pada usia 15 tahun dan berjaya memperolehi lesen juruterbang pelatih setahun selepas itu.

Pada 1947, Armstrong menyambung pengajian di University Purdue atas biasiswa Tentera Laut dalam bidang Kejuruteraan Aeronautikal. Namun pada 1949, pihak Tentera Laut memanggilnya untuk melapor diri sebagai tentera.

Sebagai juruterbang tentera laut, dia menyertai 78 misi ketenteraan dan menerima tiga pingat sepanjang khidmatnya sebagai tentera. Pada 1952, Armstrong menyambung pengajian di Universiti Purdue dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Kejuruteraan Aeronautikal. Seterusnya dia menerima Ijazah Sarjana Sains dalam bidang Kejuruteraan Angkasa Lepas dari Universiti California.

Pada 1955, dia menyertai Makmal Penggerak Penerbangan Lewis, Majlis Penasihat Aeronautik Negara (Naca) (sekarang dikenali sebagai Pusat Kajian Lewis Nasa) di Cleveland, Ohio.

Armstrong dipilih sebagai angkasawan Nasa pada 1962. Tugas pertamanya adalah sebagai juruterbang pembantu untuk misi Gemini V. Pada 16 Mac 1966, dia diberi tanggungjawab juruterbang Gemini VIII bersama Dave Agena dan berjaya melaksanakan misi itu. Seterusnya pada 1969, dia dipilih sebagai komander untuk mengetuai misi Apollo 11 ke bulan yang mencetus sejarah dunia.

Armstrong meletak jawatan daripada Nasa pada 1971 dan kembali ke Ohio sebagai Profesor dalam bidang Kejuruteraan Angkasa Lepas di Universiti Cincinnati dari 1971 hingga 1979. Kini, dia adalah Pengerusi CTA Inc, sebuah syarikat sistem maklumat.

Namun, segalanya berkemungkinan. Mungkin beliau terpaksa menyembunyikan keislaman beliau kerana desakan daripada Amerika Syarikat sendiri. Kita telah melihat bagaimana nasib yang diterima oleh Michael Jackson yang mempunyai pengaruh yang besar kepada dunia cuba menzahirkan keislamannya. Hanya sehari lagi sebelum beliau menyatakan keislamannya kepada dunia dalam konsert meganya, beliau dibunuh dengan penuh konspirasi. Nasib ini mungkin berulang kepada Neil Amstrong jika beliau benar-benar Islam dan menyatakan keislamannya kepada umum. Wallahualam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ARTIKEL POPULAR SEPANJANG ZAMAN

ARTIKEL POPULAR BULANAN

ARTIKEL POPULAR MINGGUAN