FOLLOW HIJABUL CREWZ

Sabtu, 13 Ogos 2011

Sejarah Islam Menakluki China

Berdasarkan sumber dari China, Maharaja Tang II telah menghantar utusan kepada Nabi Muhammad SAW untuk menghantar pendakwah ke negara tersebut. Nabi telah menyambut baik dengan menghantar tiga orang pendakwah. Dua daripada pendakwah itu meninggal dunia semasa perjalanan yang amat jauh, dan hanya seorang sahaja yang selamat sampai ke China. Maharaja tersebut telah membina sebuah masjid untuknya. Bermula dari itu beliau mula menyebarkan Islam di negeri China.


Semasa pemerintahan khulafah Al-Rasyidin yang ketiga (Uthman bin Affan), baginda telah mengutuskan Saad bin Abi Waqqas ke China pada tahun 651 Masehi (29 Hijrah.). Hasilnya lawatan tersebut, maharaja China tersebut telah mengarahkan pembinaan Masjid yang besar dan indah di Bandar Canton atau kini dikenali sebagai Guangzhou. Setelah itu, hubungan Islam dan China berkembang pesat sehingga munculnya perkampungan Muslim yang pertama, dibangun adalah Cheng Aan. 

Hal ini berlaku pada masa dinasti Tang. Setelah itu, ribuan Muslim dari Arab, Parsi dan Asia Tengah menyerbu masuk China yang mana ketika itu berada di puncak peradabannya.

Tentera Islam dibawah Qutaibah bin Muslim menjalankan penaklukan ke atas Bandar Kashgar ibu kota Turkestan Timur pada tahun 714 M dan menyeru Maharaja China memeluk Islam. (Turkestan Timur adalah sebuah negara merdeka sehingga ditakluk oleh kerajaan Manchu tahun 1759. Pada tahun 1876 ia memberontak dan merdeka dari kerajaan Manchu dan pada tahun 1949 ia di kuasai oleh kerajaan komunis China.)

Dalam tahun In 757 M. (138 Hijrah) Jeneral Lien Chen memberontak menentang Maharaja Su Tsung. Atas permintaan Maharaja Khalifah Abbasiyah iaitu Khalifah AL-Mansor telah mengirimkan 4000 orang tentera yang terdiri daripada orang Islam berbangsa Turki ke China. Tentera Islam yang dikirimkan berjaya dalam misi tersebut. Namun begitu tentera tersebut terus tinggal di negeri China dan berkahwin dengan wanita tenpatan. Ini membantu dalam penyebaran Islam di China.
Sesetengah pendakwah pula ke China melalui laut bersama pedagang dan menyebarkan Islam di Bandar-bandar seperti Shanghai, Guangzhou, dan sebagainya.             

Dalam kurun ke 4 Masehi (10Hijrah), Raja Turkestan Timur memeluk Islam. Ini memudahkan lagi penyebaran Islam di Turkestan Timur dan China (Muhyiddin Hasan, 1987). Bila masyarakat berbangsa Uyghur yang tinggal di Turkestan Timur memeluk Islam, maka mereka mula menyebarkan Islam di Turkestan Timur dan China.         


Bila Maharaja China mula tertarik dengan kebaikan agama Islam maka beliau telah menjemput beberapa pendakwah Islam secara rasmi. Pendakwah tersebut dapat menyebarkan Islam dengan bebas dan selesa.  

Berikut adalah zaman gemilang Islam di China pada peringkat awal.
         

1- Zaman Tang. berakhir 907 Masehi
     
2- Zaman Sung dari 907-1279 Masehi
   
3- Zaman Yunnan 1280-1368 Masehi
   
4- Zaman Ming 1368-1644. Masehi
        

Pada empat zaman ini jumlah penduduk Islam bertambah dari semasa ke semasa dan maju dari segi pendidikan, politik, ekonomi dan sosial.
Ketika ini, ulama-ulama China lahir bak cendawan selepas hujan dan segala bidang ilmu berkembang baik bukan sahaja bidang ilmu agama mahupun falsafah dan sosial. Bahkan banyak ajaran Islam telah mula mempengaruhi falsafah Conficius serta beransur-ansur mengambil alih peranan falsafah ini dalam kalangan masyarakat.  

Namun setelah era tersebut, umat Islam menghadapi banyak rintangan dan halangan. Kehidupan mereka menjadi yang sangat tertindas dan  perit ketika dinasti Manchu mula mengambil alih tampuk kuasa di China (1644-1911 Masehi). Terjadi perseteruan paling dahsyat yang mana telah tercetusnya lima kali peperangan yakni Lanchu, Che Kanio, Singkiang, Uunanan dan Shansi. Umat Islam mengalami kekalahan dalam pertempuran-pertempuran kali ini. Korban yang jatuh tak terhitung dan mengakibatkan menyusutnya jumlah umat Islam sehingga sepertiga sahaja.      

Setelah kekalahan menyakitkan itu, jumlah umat Islam kembali berkembang. Mengikut statistic, terdapat 60 juta umat Islam di China kini. Mereka bukan hanya mengenal teori tetapi juga praktikal. Mereka mengenal rukun Islam, konsep halal dan haram dan mereka sempat memimpin peradaban di China.           

Sabtu, 30 April 2011

[BONGKAR] Sejarah Panglima Awang Dilupakan Bangsanya Sendiri !!!

Generasi kini ramai yang tidak mengenali tokoh ini. Masih jelas dalam ingatan ketika belajar subjek sejarah di tingkatan lima kalau tak silap la, nama Panglima Awang hanya disebut sekali. Itupun hanya ditulis di bahagian kanan iaitu dalam sudut info yang bersaiz kecil dalam buku teks tersebut. Maka tidak hairanlah semakin lama, namanya semakin lupus ditelan zaman.
Pejuang Melayu Islam inilah yang sebenarnya telah membuktikan bumi itu adalah bulat selepas terbabit dalam pelayaran bersama Ferdinand de Magellan dari Barat ke Timur. Masyarakat kita terlalu mengagungkan Barat; kita memandang hebat pelayar asing seperti Vasco de Gama, Christopher Columbus dan Ferdinand de Magellan sehingga melupakan sejarah siapakah Panglima Awang.

Kita lupa Panglima Awang adalah manusia pertama mengelilingi dunia. Pemuda berketurunan melayu Islam inilah yang membuktikan Bumi adalah bulat, bukannya Barat. Walaupun Panglima Awang pernah menobatkan martabat bangsa di persada dunia, anak-anak kecil hari ini sudah tidak mengenali jasa mahupun siapa lelaki itu.

Jasa Panglima Awang bukan kecil. Lelaki Melayu itu membuktikan tanggapan bahawa bumi leper adalah salah. Beliau sebaliknya membuktikan bumi itu bulat dan menghubungkan Timur dengan Barat.

Sejarah besar itu bermula ketika Portugis berjaya menakluk Melaka pada 1511. Kisah seorang pahlawan Melayu digelar Panglima Awang atau Enrique dalam menyumbang sesuatu kepada peradaban dunia adalah sebuah sejarah yang jarang diketahui ramai termasuk bangsa Melayu Islam sendiri.

Tewas dalam usahanya menentang Portugis yang cuba menjajah tanah airnya iaitu Melaka, anak muda digelar Panglima Awang dan ratusan lelaki Melaka akhirnya ditawan dan disumbat ke dalam kapal besar milik bangsa Barat itu.

Rakan-rakan lain ramai yang terkorban ketika membela tanah watan, betapa gagah dan meluapnya semangat mengusir penjajah, akhirnya Panglima Awang dan rakan-rakannya tewas dengan kelengkapan senjata senapang dan meriam Portugis.
Dalam kesayuan mengenangkan hilangnya tanah air tercinta akibat dijajah, pemuda-pemuda Melaka dirantai tangan dan kaki mereka serta dikurung di dalam kapal besar itu. Bagaimanapun Panglima Awang diasingkan kurungannya daripada pemuda-pemuda Melaka yang lain.

Kehebatan dan keperkasaannya menyebabkan Wizurai Portugis, Alfonso de Albuquerque menetapkan bahawa Panglima Awang adalah tawanan peribadinya sekali gus hamba kepada dirinya seorang.

Selepas beberapa lama, sauh diangkat dan kapal itu mula belayar membelah lautan meninggalkan bumi Melaka menuju ke benua asing bersama tawanan dan hasil rampasan perang. Kapal itu singgah di Goa dan sebahagian tawanan dijual sebagai hamba di hentian itu. Seterusnya pelayaran diteruskan menuju Lisbon, ibu negara Portugal.

Pelayaran jauh yang memakan masa yang lama ini akhirnya merapatkan hubungan antara kapten kapal, Ferdinand de Maggellan dengan Panglima Awang. Betapa lelaki Portugis itu amat tertarik dengan perwatakan pemuda Melaka itu sehingga Panglima Awang diberi keistimewaan dengan dilepaskan dari kurungan manakala rantai di kaki dan tangannya dibuka. Panglima Awang diarah menjadi kuli di atas kapal sepanjang pelayaran dengan syarat pemuda itu tidak memberontak.

Ketika itu jugalah Ferdinand menukarkan nama Melayu Panglima Awang kepada ‘Enrique’, bagi mengelakkan wujudnya diskriminasi kaum dan agama antara masyarakat Portugis dan kelasi kapal lain dengan pemuda Melaka itu.

Setiba di Lisbon, Ferdinand memastikan Panglima Awang terus bersamanya. Persahabatan yang semakin erat menyebabkan kapten itu mengutuskan surat kepada Alfonso memohon lelaki Melayu itu ‘dijual’ kepadanya. Keizinan diperoleh dan bermulalah hidup Panglima Awang di tanah asing yang jauh berbeza budaya dan bentuk muka bumi berbanding Melaka. Panglima Awang ditugaskan mengusahakan ladang epal di belakang rumah lelaki Portugis itu.

Peribadi mulia dan kegigihan ditunjukkan Panglima Awang semakin membuahkan kepercayaan dan rasa hormat di hati Ferdinand malah turut menarik hati adik lelaki asing itu iaitu Miriam. Hari yang terus berlalu mengeratkan hubungan hati antara dua bangsa itu malah Ferdinand turut merestui hubungan cinta berkenaan.

Sejarah mengelilingi dunia bermula apabila Ferdinand melarikan diri ke Sepanyol bersama Panglima Awang angkara fitnah pihak tertentu yang memusuhinya. Kehebatan, kemahiran dan pengalaman luas selaku pelayar menyebabkan Raja Portugal menghargai Ferdinand tetapi ia turut membenihkan hasad dengki di kalangan musuh yang akhirnya memfitnah kapten kapal itu.
Bagaimanapun, pelarian Ferdinand dan Panglima Awang ke Sepanyol diterima baik ketua negara itu, Raja Charles I, lantaran reputasi Ferdinand selaku pelayar hebat Portugal sememangnya dikenali dan dikagumi orang Sepanyol. Di Sepanyol, kemahiran dan pengalaman luas Ferdinand selaku pelayar dimanfaatkan apabila Raja Charles I mengarahkan lelaki Portugis itu belayar mencari tanah dan harta kepada Kerajaan Sepanyol.

Beberapa tahun diperuntukkan untuk membuat persediaan sehingga beberapa kapal berjaya dibina untuk ekspedisi itu dengan kapal terbesar dinamakan ‘Victoria’.

Cadangan pelayaran Sepanyol itu akhirnya sampai ke pengetahuan pemimpin tertinggi Kristian seluruh dunia ketika itu iaitu Pope di Rom. Pope mensyaratkan jika Sepanyol ingin belayar, mereka tidak boleh lagi menghala ke Timur kerana ia sudah diperuntukkan kepada Portugis. Sebaliknya Sepanyol perlu belayar ke Barat.

Tindakan itu menimbulkan kekhuatiran di kalangan ramai kelasi kerana pelayaran ke Barat masih belum banyak diterokai. Akibatnya, tanpa kelasi, Ferdinand terpaksa mengambil banduan sebagai anak kapal dengan tawaran kebebasan dan kemewahan jika mereka mengikuti pelayaran itu. Selain Panglima Awang, seorang lagi orang kanan Ferdinand adalah Sebastian del Cano dan pencatat pelayaran, Pigafetta.

Pada 1519, kapal besar itu berangkat meninggalkan pelabuhan Seville menuju ke horizon Barat. Pelayaran itu amat sukar berikutan anak kapal tidak berpengalaman malah ada jatuh sakit dan mati. Ramai memberontak dan meminta berpatah balik.

Bagaimanapun penentangan dan konflik yang tidak kunjung padam sepanjang pelayaran sedikit terlerai apabila pelayaran menemui daratan di Barat, kapal itu sudah menjejaki benua baru di Amerika Selatan, setahun kemudian. Pelayaran itu turut menemui Selat Magallaes yang dinamakan sempena nama Ferdinand.
Tidak puas dengan penemuan dunia baru itu, Ferdinand ingin meneruskan pelayaran ke Barat sehingga konflik kembali tercetus di kalangan kelasi. Tanggapan bahawa bumi adalah leper menyebabkan mereka khuatir pelayaran terus ke Barat menyebabkan mereka terjatuh ke bawah dunia.

Walaupun menerima tentangan, Ferdinand meneruskan perjalanan dengan sokongan Panglima Awang. Pelayaran yang memasuki Lautan Pasifik kali itu semakin mencetuskan pelbagai masalah. Beberapa kapal hilang malah krisis bekalan makanan yang meruncing menyebabkan kelasi terpaksa memburu tikus dan lipas sebagai makanan.

Penderitaan di kelilingi lautan akhirnya berakhir apabila pada pertengahan 1521, tilikan Panglima Awang menerusi teropong terlihat sesuatu seperti pohon kelapa dari kejauhan. Berita itu disampaikan dan disambut gembira anak kapal bahawa penderitaan mereka berakhir. Mereka tiba di Pulau Mazzava, Cebu, Filipina.

Berlabuh di situ, Panglima Awang merasakan telahannya yang pelayaran berterusan mereka ke Barat sudah menemui dunia Timur adalah benar apabila mendapati pertuturan penduduk pulau itu menyamai Bahasa Melayu. Jauh di sudut hati, dirasakan negeri tanah tumpah darahnya iaitu Melaka semakin hampir.

Kepastian Panglima Awang dan Ferdinand mengenai bumi adalah bulat dan pelayaran mereka ke Barat sudah tembus ke Timur disampaikan kepada anak buah dan disambut gembira. Bagaimanapun satu kesilapan dilakukan. Kegembiraan kelasi menyebabkan mereka melepaskan bedilan meriam kononnya sebagai keraian tetapi tindakan itu menyebabkan pemerintah Cebu, Raja Hamabun menyangka kehadiran kapal asing itu adalah untuk berperang dan mereka memulakan serangan.

Dalam pertempuran itu, Ferdinand dan ramai anak kapal terbunuh malah kapal Sepanyol itu dihancurkan sehingga tinggal sebuah kapal saja iaitu Victoria yang sempat meloloskan diri. Berikutan Panglima Awang berbangsa asing, Sabastian dipilih selaku kapten tetapi dia tidak memiliki semangat dan pengalaman luas menyebabkan tugas mengemudi pelayaran dilakukan mengikut arahan Panglima Awang.

Pandangan Panglima Awang bahawa mereka sudah hampir dengan Melaka ternyata benar apabila melintasi tanah Semenanjung. Tetapi disebabkan khuatir diserang Portugis yang menguasai Melaka lantaran Sepanyol adalah seteru Portugal, kapal itu tidak singgah di tanah kelahiran Panglima Awang.

Tambahan pula mereka sudah ‘melanggar’ perintah Pope dengan memasuki kawasan pelayaran orang Portugis menyebabkan mereka menukarkan bendera Sepanyol kepada bendera Portugis sebagai penyamaran dan meneruskan perjalanan pulang ke Sepanyol.
Diceritakan Panglima Awang tak pernah sesat
dengan menggunakan kompas ini
Pelayaran diteruskan dan berakhir apabila mereka tiba kembali di Sepanyol. Di hadapan Raja Charles I, mereka menghadap mempersembahkan cerita besar pelayaran mereka ke Barat sehingga pulang dari arah Timur. Bagaimanapun raja itu kecewa kerana bukan bukti besar itu yang dimahukannya, raja itu kepingin harta dan tanah jajahan baru menerusi pelayaran itu.

Memandangkan Panglima Awang berbangsa asing, pengiktirafan sejarah itu diberikan kepada Ferdinand walaupun Panglima Awang adalah orang yang bertanggungjawab menyelesaikan ekspedisi mengelilingi bumi buat julung kalinya selepas Ferdinand gagal dan mati di Cebu.

Pengiktirafan itu turut menenggelamkan nama ‘Melayu’ selaku bangsa pertama yang mengelilingi bumi seterusnya jasa Panglima Awang turut tidak diketahui ramai termasuk bangsa Melayu. Mengikut catatan novel sejarah Harun Aminurrashid, Panglima Awang akhirnya kembali semula ke Melaka selepas bertahun berada di tanah asing.

Fakta Panglima Awang

Walaupun asal usul Panglima Awang sebelum ditawan Portugis masih samar-samar malah nama sebenarnya dalam Melayu masih tidak diketahui, terdapat satu catatan yang ditulis oleh Pigafetta yang mengatakan Panglima Awang sebenarnya berasal dari Sumatera ( anak Minangkabau ) dan ini ada tercatat dalam trombo Minangkabau walau pun bukan disebut sebagai Panglima Awang. 
‘Panglima Awang’ hanyalah gelaran diberikan Harun Aminurrasid dalam catatannya mengenai sejarah lelaki itu. Selain ‘Panglima Awang’, tokoh pahlawan Melayu itu turut dikenali sebagai ‘Enrique’, ‘Henry The Black’, ‘Henrich’, ‘Ariberto’, ‘Espinosa’ dan pelbagai lagi mengikut sebutan sesuatu bangsa.

Walaupun nama Panglima Awang tidak tercatat dalam manuskrip sejarah Melayu, namanya tercatat dalam catatan sejarah pelbagai bangsa asing di dunia. Antaranya catatan Itali menyebutnya sebagai ‘seorang lelaki dari Melaka’ selain catatan Pigafetta mengenai pelayaran itu sekali gus membuktikan kewujudan tokoh itu. Bagaimanapun ada juga ahli Barat yang cuba menutup sejarah kejayaan bangsa Melayu Islam ini dengan menafikan kewujudan Panglima Awang.

Kita melihat bagaimana liciknya musuh-musuh Islam dalam menutup kewibawaan seorang Melayu Islam yang pertama membuktikan bumi itu bulat. Kita juga melihat kurangnya usaha daripada pihak kerajaan untuk mengangkat kembali sejarah gemilang ini supaya menjadi tatapan masyarakat kini. Sistem pendidikan kita sendiri pun terlalu mengagungkan-agungkan bangsa barat dan menggambarkan tamadun barat adalah tamadun yang jauh lebih bertamadun daripada kita sejak dahulu,kini dan selamanya.

Nah !!! Bagaimana umat Melayu Islam mahu bangkit jika asyik dibuai lena dan propaganda berterusan begini ???

Khamis, 11 November 2010

[BONGKAR] Kenapa Dunia Menggelapkan Sejarah Raja Soleh Ini ???

Aurangzeb sedang membaca Al Qur'an 

Aurangzeb, namanya yang sengaja dihitamkan oleh ahli-ahli sejarah yang prejudis dengan Islam. Kita mengenali tokoh ini melalui buku-buku sejarah yang diajar disekolah-sekolah.

Kata para orientalis dan kebanyakan sejarawan dunia, beliau adalah tokoh yang kejam, tidak bertimbang rasa dan tidak berakhlak. Disebabkan itu, kebanyakan kita menjadi salah seorang dari ribuan orang yang menyanjungi Akbar The Great, Shah Jehan dan lain-lain raja dalam Dinasti Mughal di India.

Akbar tidak patut disanjung seperti yang dicatitkan oleh orientalis-orientalis Barat. Sifat timbang rasa, lembut dan pemaafnya tidak kena pada tempat. Malah beliau adalah penguasa yang jelas menentang hukum-hakam Islam dengan mengadakan pelacur-pelacur di tempat-tempat rehat para musafir di dalam negaranya. 

Kemungkaran terbesar yang dibuat Akbar ialah mencipta agama Din ilahi, iaitu agama campuran antara Hindu, Buddha, Kristian dan Islam. Beliau juga terlalu memberi muka kepada penentang Islam dengan menarik semula pembayaran Jizyah sepertimana yang telah ditetapkan oleh syariat. 

Sebaliknya, Aurangzeb adalah tokoh yang tegas, berani dan kuat memegang syariat. Beliau juga adalah ahli sufi yang benar-benar kuat menjalankan mujahadah dan latihan-latihan rohani. Beliau juga mujahid yang tidak teragak-agak mengangkat senjata bila keadaan memerlukan. 

Sembahyang dan puasanya banyak. Beliau mengharamkan kembali peminuman arak, nyanyi-nyanyian, tarian dan gundik yang telah bermaharajalela dalam istana Dinasti Mughal. Fikiran dan firasatnya sangat tajam dan ini telah dibuktikan dengan beberapa peristiwa. 

Satu ketika, peperangan telah meletus antara tentera Islam Dinasti Mughal dengan kerajaan Hindu Mahrata di dalam negara India. Dalam peperangan itu, tentera Islam hampir tewas kerana tentera-tentera musuh telah menggunakan sihir. 

Senjata yang mereka gunakan tidak dapat digunakan menentang musuh kerana telah bertukar kepada benda-benda lain. Dengan ini, tentera Islam lemah semangat dan dengan mudah dibunuh oleh tentera musuh. Ternyata tentera Islam tidak dapat mengatasi sihir yang dilakukan oleh tentera musuh. 

Berita ini telah diberitahu kepada Aurangzeb. Kerajaan Mahrata jika tidak segera dikalahkan, ini akan memusnahkan kerajaan Islam Mughal dan ini sudah tentu akan membahayakan semua umat Islam di India. Tetapi bagaimana caranya? 

Bagaimana dan apakah yang harus dibuat untuk menghadapi tentera musuh yang menggunakan kekuatan sihir ini?

Aurangzeb adalah seorang raja yang sangat soleh. Beliau yakin dengan bantuan Allah dalam menghadapi apa juga keadaan. Dikumpulnya semua tentera Islam dan tiap-tiap senjata yang hendak dibawa bertempur, digantungnya sehelai kain yang bertulis. 

Tetapi isi tulisan itu dirahsiakan, dan tiada siapa yang dibenarnya membuka kain yang diikat pada setiap senjata itu akan menjadi pendindingnya. 

Tentera Islam pun berperang dengan berani dan penuh keyakinan serta bertawakal kepada Allah. Mereka pun berjaya. Apabila tamat perang, Aurangzeb memerintahkan tenteranya membaca tulisan pada kain yang diikat pada pada senjat, alangkah terkejutnya mereka bila tulisan yang ada pada kain itu hanya perkataan: 

Bismillah! 

Satu tindakan yang berani yang dilakukan oleh Aurangzeb semasa pemerintahannya ialah mengharamkan muzik. Segala bentuk hiburan selain daripada zikir, selawat dan lagu-lagu memuji Allah dilarang keras. 

Tentunya menimbulkan kejutan yang amat sangat dikalangan pemuzik-pemuzik negaranya, kerana selama ini muzik sangat disanjung dan mendapat tempat yang istimewa di hati pemerintah-pemerintah sebelumnya. 

Namun bagi Aurangzeb yang tegas berpegang pada syariat, segala bentuk yang haram tetap haram walau disukai ramai. Malah pada muzik membunuh jiwa perjuangan dan menyuburkan rasa khayal kepada cinta masyuk yang diharamkan oleh Islam. Ia berpegang tegas kepada sabda Rasulullah SAW: 

“Tidak ada ketaatan kepada makhluk (manusia) dengan bermaksiat kepada Khalik (Allah).” 

Tindakan ini menimbulkan rasa tidak puas hati yang sangat meluas dikalangan pemuzik-pemuzik dam mereka yang bersimpati dengannya. Lalu mereka mencari satu jalan untuk membantah undang-undang itu. Untuk bangun menentang secara kekerasan mereka takut kerana mereka arif benar dengan sikap Aurangzeb yang tidak teragak-agak mengangkat senjata demi menegakkan hukum Allah. 

Akhirnya mereka sepakat untuk mengadakan demontrasi besar-besaran. Untuk itu mereka telah membuat sesuatu keranda yang besar untuk dibawakan dalam perarakan. Dalam keranda itu mereka isikan segala alat-alat muzik milik mereka. Tentu keranda itu sangat besar memandangkan alat-alat muzik kepunyaan pemuzik-pemuzik di dalam negara India ketika itu sungguh banyak. 

Pada hari yang ditetapkan, beraraklah mereka beramai-ramai. Sambil berarak meraka menangis tersedu-sedu. Tangisan ini bergema diseluruh negara menghasilkan satu suasana yang sangat pilu dan dan menusuk jiwa. Rupa-rupanya tangisan itu adalah untuk mengundang raja dan rakyat seluruhnya kepada nasib pemuzik-pemuzik. Keranda besar itu turut di usung beramai-ramai sehinggalah perarakan itu melalui hadapan rumah Aurangzeb. Mendengar suara tangisan yang mendayu-dayu itu, Aurangzeb pun bertanya, “Apakah yang sedang berlaku?” 

Orang pun memberi penjelasan bahawa itulah perarakan ahli-ahli muzik. Aurangzeb pun berkata, “Kata kan kepada ahli-ahli muzik itu, cepat-cepatlah mereka kebumikannya kerana aku dan rakyatku tidak tahan lagi bau bangkainya!” 

Jawapan ini sangat tepat dan tegas. Ahli-ahli muzik yang mengharap simpati dari Aurangzeb kecewa dan sekarang mereka kenal siapa Aurangzeb sebenarnya. Tetapi dalam hati Aurangzeb, beliau sedar itulah cara untuk menyelamatkan rakyatnya dari dosa dan balasan neraka di akhirat nanti. Dia sedar bahawa dialah yang akan ditanya dipadang Masyhar nanti terhadap apa yang dilakukan pada rakyatnya. Biarlah pahit kerana pahit itu selalunya ubat. 

Beliau selalu menangis apabila mendengar nasihat dari alim-ulama. Dia juga sangat serius bila mendengar tarbiyah daripada ulama-ulama tasawuf. Sembahyang tahajudnya banyak, hidup sederhana dan sering berpuasa sunat. 

Walaupun istana kerajaan Mughal indah dan mewah, Aurangzeb hanya ada di situ apabila menjalankan tugas-tugas rasmi. Rumahnya yang sebenar ialah rumah kecil yang sederhana. 

Aurangzeb memerintah India selama 47 tahun. Iaitu dari tahun 1659 hingga 1707. Dalam menegakkan satu kerajaan yang kukuh ia tidak teragak-agak untuk bertindak demi menegakkan hukum-hukum Allah walaupun terpaksa berhadapan dengan saudara-saudaranya. 

Pada beliau, pertalian syahadah melebihi pertalian darah dan saudaranya ialah ialah siapa sahaja yang kuat berpegang pada hukum Allah. Dalam masa pemerintahannya juga, beliau terpaksa berhadapan dengan pemberontak-pemberontak yang telah dimulakan oleh pemerintah-pemerintah terdahulu. 

Dengan tegasnya beliau telah menukar nama kota Benares kepada Ahmadabad dan mendirikan sebuah masjid besar yang mempunyai khutbah putih dengan menaranya menjulang tinggi ke langit. Berkat melimpah-limpah semasa pemerintahannya bila hasil pendapatan negara meningkat dengan tinggi melebihi apa yang dicapai semasa pemerintahan Akbar. 

Inilah antara usaha kecilku untuk membersihkan nama Aurangzeb dari cercaan umat Islam dari zaman ke zaman. Kita telah diracuni oleh sejarah tulisan para orientalis yang mengagungkan Akbar dan Shah Jehan. Sedangkan mereka berdualah sebenarnya penguasa yang telah mengecualikan tanggungjawab sebagai khalifah Allah. Sedangkan pada kita Aurangzeb yang dituduh kejam itulah sebenarnya mujahid yang bertaqwa. 

Aurangzeb merupakan raja yang keras dalam pemerintahannya namun dalam Islam adakalanya memerlukan orang-orang keras supaya Islam dapat ditegakkan. Peribadi Aurangzeb yang tegas ini mengingatkan kita kepada Sayidina Umar Al-Farouq yang terkenal tegas itu serta Umar ibn Abdul Aziz yang terkenal dgn kewarakannya. Dan mereka inilah antara ribuan mujahid-mujahid Islam yang menepati kehendak Allah melalui firman-Nya: 

“Muhammad Rasulullah dan orang-orang besertanya, sangat keras dengan orang-orang kafir dan amat berkasih-sayang sesama mereka(umat Islam).” 

Inilah agaknya yang dimaksudkan oleh Aurangzeb dengan kata-katanya, 

“Kalaupun aku kejam, adalah kerana cinta pada agama semata-mata!” 


Jasa-jasa Raja Aurangzeb 

1. Menyatupadukan kembali seluruh daerah yang sudah lemah. 

2. Empayar Moghul mencapai daerah kekuasaan yang terbesar di India. 

3. Menghapuskan saki baki ajaran Din-I-Ilahi yang diteruskan oleh Dara Shikuh. 

4. Mendapat sokongan kuat daripada masyarakat Islam kerana dasar-dasarnya hendak mengukuh dan menegakkan Islam, hingga timbul anggapan terhadapnya sebagai 'Wali Keramat'. 

5. Mengadakan satu jabatan khusus untuk mengawal akhlak kaum muslimin. 

6. Mengharamkan judi, arak dan sebagainya serta masjid-masjid dibina dan diperbaiki tempat-tempat ibadat 

7. Mendapat pengiktirafan dan kepercayaan daripada kerajaan-kerajaan Islam lain, dan mendapat penghormatan sebagai pengganti Bani Abbasiyyah. 

8. Menyusun Fatwa-I-Alamgiri (mazhab Hanafi) yang diilhamkan dari Syeikh Ahmad 

Al Qur'an yang ditulis sendiri oleh Aurangzeb 

Anda boleh lihat link-link yang saya sertakan di bawah untuk mengetahui dengan lebih lanjut bagaimana Kerajaan India serta dunia memburukkan nama Aurangzeb hanya sebab dasar agama Islam yang dibawanya. Sememangnya inilah tujuan para orientalis yang bersekongkol dengan musuh Islam mahukan. Nama pemimpin soleh yang dapat mengubah dunia seboleh-bolehnya disampahkan dan digelapkan agar tidak dikenali dunia terutamanya dunia Islam itu sendiri.


Sesungguhnya sejarah itu dapat mengubah dunia, disebabkan itulah kita harus mengkaji dan membersihkan sejarah-sejarah Islam yang sengaja digelapkan oleh musuh-musuh agama Allah. Jika para sejarawan menyatakan seseorang individu itu jahat, maka seluruh dunia juga akan mengatakan begitu. Itulah taktik puak-puak kuffar terutamanya yahudi zionis untuk memburukkan nama Islam di mata dunia. Sedihnya, orang-orang Islam pula hanya mengangguk-angguk kepala setuju dengan apa sahaja yang mereka katakan. Wallahualam.

Semoga Allah Merahmati Abu Mahyuddin Aurangzeb Alamgir.

- Sila Follow Twitter: HiJaBuL Cr3wZ -
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ARTIKEL POPULAR SEPANJANG ZAMAN

ARTIKEL POPULAR BULANAN

ARTIKEL POPULAR MINGGUAN