FOLLOW HIJABUL CREWZ

Monday, 24 November 2014

[Untold Stories] Dari Mulut TGHH Sendiri: Kebanyakan Isi Artikel Ini Belum Pernah Dihebahkan Kepada Umum!


Konspirasi New World Order ke atas negara-negara di seluruh dunia? Apa yang dimaksudkan dengan golongan Mutasahilun dan Mutasyaddidun? Kisah Sister in Islam yang belum pernah diceritakan? Adakah bumi nusantara dan bangsa Melayu adalah pencetus kebangkitan Islam akhir zaman? MH370 dan MH17 adalah kemalangan "terancang"? Ketakutan Amerika Syarikat kepada PAS yang disembunyikan? Lee Kuan Yew berjumpa dengan TGHH? Isu DAP Sarawak yang keluar PR? Isu PASMA? Dan banyak lagi akan didedahkan dalam artikel ini. Jom selami pemikiran dan sudut pandang Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang. Artikel ini saya kelaskan dalam kategori, ARTIKEL WAJIB BACA! 

--------------------------------------------------------------------------

USRAH ANAK BERANAK BERSAMA AYAH CHIK

Asal perancangannya kami jemput Dato Husain Awang sebagai naqib usrah gabungan guru MDQ kali ini. Selain dari Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, beliau juga pemangku jawatan-jawatan arwah Ustaz Harun Taib di Terengganu termasuk Pengerusi Lembaga Pengarah MDQ.

Malangnya Dato Husain tidak dapat bersama kami. Usrah terpaksa ditangguh kerana kami tak dapat mencari pengganti.

Kecewa sungguh usrah kali ini dibatalkan. Kami benar-benar ketandusan sentuhan tarbiah setelah pelbagai isu-isu mencabar akidah yang timbul mutakhir ini. Tidak cukup sekadar pencerahan minda menerusi wacana dan ceramah sahaja. Kami juga perlukan kekuatan ukhuwwah dan aura rohani dari mereka. Usrah yang diasaskan oleh Imam AlBanna sangat berkesan bagi abnaul harakah mengecas kembali tenaga spiritual mereka di samping merasai kemanisan iman kepadaNya.

"Susah-susah sangat test jemput Ayah Chik la." Kata seorang sahabat semasa kami bersembang mengenai usrah di bilik guru.

Saya ketawa kecil. Takkan nak jemput Timbalan Ketua Ulama Dunia baru hari ini untuk usrah esok. Sudah tentu komitmennya terlalu padat. Tambah pula dalam pengetahuanku beliau masih berada di KL untuk perbahasan Bajet 2015.

Usai solat Isyak saya terserempak dengan Yusof, anak Ayah Chik. Untuk buat modal bersembang, saya saja bertanya adakah Ayah Chik ada di rumah atau tidak.

"Ada, baru balik maghrib tadi." Jawab Yusof.

Wow! Ini sudah bagus. Terus saya sampaikan hasrat jabatan tarbiah untuk berusrah dengannya walaupun sebenarnya saya tidak menaruh harapan yang tinggi kerana peluang mendapatkannya amat tipis. Biasanya untuk urusan sebegitu perlu melalui PA khas sekurang-kurangnya awal sebulan.

Lewat 11 malam baru dapat jawapan. Ayah Chik setuju berjumpa kami. Alangkah gembiranya hati. Memang saya tidak pernah dapat kesempatan sebegini lagi sejak Ramadhan lepas. Esoknya saya terus maklumkan pada pihak atasan MDQ untuk menyusun perjalanan berikutnya.

Ayah Chik datang tepat jam 11 seperti yang dijanjikan. Beliau memang terkenal dengan ketepatan masanya. Kami pernah dimarahi beliau sewaktu di Syria dulu, kerana lewat membawanya berjumpa dengan wakil Hamas seperti yang mereka janjikan.

Selepas aluan dari Mudir, Ayah Chik terus memulakan perkongsiannya dengan bacaan ayat 217 dari surah alBaqarah:

- وَلَا يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمْ عَنْ دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُوا
Dan musuh-musuh Islam itu sentiasa memerangi kamu sehinggalah mereka berjaya memalingkan kamu dari agamamu jika mereka mampu.

Ayah Chik menegaskan bahawa pertembungan umat Islam dengan musuh akan berlaku sampai hari kiamat. Islam tidak akan sunyi dari pembenci dan pendengki.

Matlamat utama kumpulan musuh adalah untuk memalingkan umat Islam dari ajaran Islam itu sendiri kerana kekuatan Islam adalah terletak pada ajarannya, bukan pada ramainya umat Islam atau kayanya negara Islam.

"Maka antara sasaran utama musuh Islam adalah pusat-pusat pengajian Islam yang menjadi sumber ajaran Islam. Mereka mengatur berbagai strategi untuk melemahkan pendidikan Islam." Ujar Ayah Chik penuh khusyuk.

Antara pusat pendidikan utama Islam adalah Universiti al-Azhar di Mesir yang ditubuhkan sejak zaman Abbasiyah. Waktu itu Mesir dikuasai oleh kumpulan Fatimiyyah. Graduannya dari serata dunia menjadi pemimpin kebangkitan Islam di negara masing-masing. Sudah semestinya perkara ini amat dikhuatiri musuh.

"Dengan menggunakan kuasa politik, al-Azhar cuba dimandulkan. Bermula tahun 50an silibus al Azhar mula diubah. Dimasukkan subjek perkauman arab dan dibuang beberapa cabang Ilmu Islam.

Peperiksaan al-Azhar turut dikacau. Pelajar diluluskan seramai yang mungkin sehingga yang tidak jawab apa-apa pun boleh lulus. Tujuannya supaya kualiti graduan dipandang rendah oleh masyarakat. Pensyarahnya pula dilantik dari berbagai latarbelakang dan pemikiran termasuk orientalis. Syeikhul Azhar juga dipilih oleh kerajaan, yang sebelum itu dipilih oleh pihak Azhar sendiri." Tambahnya lagi.

"Tuan Guru Nik Aziz pernah bercerita pada saya, sewaktu beliau menuntut di al-Azhar dahulu, ada seorang syeikh yang mengajar ilmu tasauf bermula sebelum waktu Asar sehingga masuk waktu maghrib. Mereka langsung tidak berhenti solat Asar!" Cerita Ayah Chik diselangi dengan ketawa kecil.

Begitu juga di Mekah dan Madinah. Sejak zaman sahabat dahulu lagi kedua bumi ini terkenal dengan serambi ilmu. Setiap sudut masjid dipenuhi pengajian ilmu.

"Halaqah-halaqah agama wujud di setiap tiang masjid. Ulama dari pelbagai kepakaran dan bangsa mencurah mutiara yang tak ternilai harganya. Universiti tak rasmi itu telah melahirkan tidak terkira ramainya pendakwah serata dunia." Katanya. Kami hanya mendengar dan mengangguk.

Saya teringat Ayah Chik pernah cerita dia sendiri diberi peluang oleh mufti Saudi, Abdul Aziz bin Baz untuk mengajar di Masjid Nabawi. Waktu itu zaman Raja Faisal.

Namun setelah Raja Faisal dibunuh, barat mula campur tangan pentadbiran Saudi. Halaqah agama dimatikan. Ramai khatib dan imam yang digam. Khutbah diarahkan mengikut teks yang disediakan sahaja selepas di periksa oleh barua barat. Tidak sedikit khatib yang dipecat kerana tidak mahu tunduk kepada sekatan tersebut.

"Dr Hassan Al-Touhami, bekas Setiausaha Agung OIC pernah mendedahkan perkara ini dalam sebuah persidangan. Beliau merujuk kepada kertas kerja dari PM Israel yang bocor tentang projek menghapuskan pendidikan Islam ini." Terang Ayah Chik. Nampak gayanya beliau sudah mula bercerita soal politik antarabangsa, yang sememangnya menjadi kepakarannya.


Projek ini sebenarnya adalah ranting kepada sebuah grand design yang diisytiharkan oleh George Bush, bekas Presiden Amerika yang dikenali sebagai New World Order (NWO).

"NWO ialah rancangan menyatukan dunia dengan sebuah tamadun sahaja menerusi tamadun barat. Mereka menggerakkan idea globalisasi atas nama langkah kemajuan di negara-negara lain termasuk negara umat Islam."

Tiada lagi tamadun china, tamadun India, parsi, Islam dan sebagainya. Matamatnya adalah satu; menguasai dunia!

"Kerana itulah kita melihat hari ini ideologi kiri sudahpun hancur termasuk di negara bekas komunis sendiri. Rusia, Vietnam dan China telah mengamalkan konsep ekonomi terbuka bawaan barat walaupun mereka masih menyatakan pegangan terhadap ideologi sosialis."

"Namun setelah lama menjalankan agenda tersebut ke atas umat Islam, mereka mengakui bahawa ajaran Islam sangat kuat. Ia gagal dilenyapkan. Apa yang boleh dilakukan hanya sekadar mengganggu kemaraan Islam. Lalu mereka mengambil langkah menggunakan kelemahan Islam melalui dua golongan; Mutasahilun dan Mutasyaddidun." Muka Ayah Chik semakin serius.

Mutasahilun ialah golongan yang bermudah-mudah dengan ajaran Islam. Kelemahan itu menyebabkan mereka mula diresapi ideologi songsang tentang Islam seperti Islam liberal, Islam demokrat, pluralisme agama dan sebagainya. Mereka golongan umat Islam yang hanya menerima sebahagian ajaran Islam yang mudah dan diterima akal manakala sebahagian lain dipinggirkan.

Mutasyaddidun pula golongan yang ekstrim. Mereka terlalu sayangkan Islam tetapi tidak faham Islam. Kejahilan mereka terus dipergunakan untuk memberi rupa buruk terhadap Islam di mata masyarakat dunia. Mereka diajar jihad tanpa feqh. Mereka golongan gelojoh untuk memartabatkan Islam.

"Menang hari ini, esok terus nak jalankan hudud. Kalau ada orang mencuri, mereka akan tangkap sendiri dan terus potong tangan tanpa mengikut syarat-syarat dan prosedur sepatutnya." Jelas Ayah Chik.

Kedua golongan ini dibiayai secara halus oleh barat. Mungkin mereka sendiri tidak sedar siapa yang biaya mereka. Barat amat perlukan kedua kumpulan ini supaya Islam yang tulen tenggelam. Pertembungan Islam sesama Islam akan terus berlaku jika umat Islam masih tidak menyedari perkara ini.

Disinilah pentingnya ajaran Islam dipelajari mengikut manhajnya yang sebenar. Ayah Chik membacakan sepotong Firman Ilahi:

فلو لا نفر من كل فرقة منهم طائفة ليتفقهوا في الدين
Perlu ada satu kumpulan dari kalangan umat Islam yang keluar memahami agama.

Allah sebut lafaz tafaqquh, dengan maksud faham bukan sekadar taallum iaitu belajar. Bukan semua orang belajar itu faham.

Disamping itu Islam juga mengajar bahawa setiap yang baik itu adalah milik umat Islam.

"Sabda Rasulullah SAW:

الحكمة ضالة المؤمن حيثما وجدها فهو أحق بها
Kebijaksanaan itu adalah milik umat Islam. Di mana saja dia menjumpainya maka dialah yang lebih berhak untuk mengambilnya.

Justeru itu umat Islam tidak perlu bercukup dengan ilmu wahyu. Mana-mana ilmu yang memberi manfaat walaupun untuk dunia sahaja perlu didalami sebaiknya.

Malangnya manusia ini dijadikan tuhan tidak mampu mempelajari semua ilmu sekaligus. Dari sinilah diperkenalkan ilmu secara kolektif. Setiap orang mendalami bidang-bidang tertentu dan mereka sentiasa berkumpul melontarkan kepakaran masing-masing seperti kumpulan usrah dan sebagainya.

Namun begitu ilmu teras kepada semua perlu dimiliki oleh setiap orang Islam iaitu ilmu Fardu Ain. Tidak kira dibidang manapun mereka ceburi, mereka perlu tahu asas berkait ilmu agama dari aspek akidah, feqah dan akhlak."

"PAS menyedari sejak lama usaha jahat menggagalkan pendidikan Islam ini. Kerana itulah ulama kita banyak menubuhkan institusi-institusi pendidikan baru di Malaysia sekembalinya dari Timur Tengah. Kebanyakan pad awalnya menggunakan manhaj asal al-Azhar seperti MDQ, KUDQI dan KIDU. Selain itu PAS mengambil pendekatan membenarkan orangnya masuk ke dalam sektor kerajaan bagi mengawal sistem pendidikan Islam agar tidak terjejas teruk." Katanya lagi.

Tidak dinafikan Malaysia juga menerima tempias globalisasi dalam dunia pendidikan. Mujurlah langkah yang diambil itu sedikit sebanyak berjaya menjaga keaslian Islam jika dibandingkan di negara-negara Islam lain.

Institusi pendidikan PAS turut diganggu oleh musuh. Penghantaran pelajar ke Timur Tengah disekat terutama di Al-Azhar melalui hubungan G2G. Sijilnya tidak diiktiraf oleh kerajaan tempatan.


"Oleh kerana itulah, perjuangan di medan ilmu juga mereka salah satu cabang jihad Fisabilillah yang penting bagi Islam." Tegas Ayah Chik mengakhiri penjelasannya.

Kami warga pendidik lega mendengarkannya. Walaupun canarannya besar, perkongsiannya telah menyuntik semangat untuk kami terus berbakti di medan yang mulia ini.

Tiba sesi soal jawab pula. Saya beri peluang dahulu orang lain untuk bertanya. Tangan saya tekun mencatat pelbagai fakta spontan yang Ayah Chik kemukakan. Ulama itu terlalu sarat dengan mutiara yang tak mampu saya kutip semuanya. Nama dan tahun diingatinya satu persatu persis sebuah ensiklopedia.

Lima soalan pertama dikumpul berkait dengan SIS, PasMa, sejarah MDQ, masa depan Islam di Asia dan cabaran Islam di Sarawak. Saya perhatikan Ayah Chik mencatat soalan dan point jawapan yang agak banyak.

"Semangat Ayah Chik kali ni." Getus hati saya. Biasanya dalam program separa rasmi sebegini beliau hanya dengar dan jawab spontan. Tapi kali ini tekun menulis. Panjang pula tu. Tentu jawapannya juga panjang.

Agakan saya tepat. Sesi soal jawab lebih panjang dari sesi pertama. Benar-benar menghilangkan dahaga kejahilan kami selama ini. InsyaAllah saya cuba kongsikan dalam tulisan seterusnya.

Sabar. Takkan lari gunung dikejar.


USRAH ANAK BERANAK BERSAMA AYAH CHIK (PART II)

Apabila sesi soal jawab dibuka, lima soalan ditanya kepada Ayah Chik. Soalan berkisar mengenai dalam dan luar negara.

Soalan pertama:
Isu SIS dan sikap PAS terhadapnya kerana keliru dengan sikap 2-3 orang pimpinan yang seakan membela kumpulan ini.

"SIS sudah wujud pada awal 90an lagi. Mereka muncul dengan kontroversi mengikut musim. Sekarang muncul kembali dengan isu terbaru. Kebanyakan ahlinya adalah wanita-wanita Islam yang memperjuangkan hak wanita. Mereka terdiri di kalangan beberapa orang anak bekas PM dan juga ahli akademik." Jawab Ayah Chik yang selalu membangkitkan hal sejarah.


"Mungkin kita masih ingat salah seorang mereka adalah Amina Wadud, yang pernah menggemparkan dunia dengan khutbah jumaatnya dan mengimami solat jumaat yang dihadiri oleh lelaki dan wanita bercampur dahulu."

Sebenarnya gerakan sebegini ada di mana-mana negara. Dibandingkan dengan indonesia, di sana lagi teruk. Kebebasannya di luar kawalan. Malaysia boleh dikira yang paling baik lah diantara yang tak baik.

"Saya pernah beritahu Najib dahulu, UMNO ni zalim, tapi pemimpin arab lagi zalim" Ayah Chik berseloroh disambut tawa kecil dari kami.

"Presidennya, Zainah Anwar pernah datang ke Rusila ini. Waktu itu beliau sebagai wartawan NST."

"Antara yang mereka pertikaikan adalah hak pembahagian harta pusaka, aurat wanita dan juga hukum hudud. Mereka sebenarnya tidak memahami bahawa syariat Islam ini bertali antara satu sama lain. Hak tersebut perlu dibaca menyeluruh barulah adil" Kata Ayah Chik tegas.

Contohnya dalam isu pusaka. Benar wanita dapat separuh dari lelaki. Tapi jika melihat sudut lain dalam Islam, ia amat sesuai dengan tanggungjawab besar lelaki yang wajib menanggung anak, isteri dan ibubapa yang uzur. Harta pusaka mereka perlu digunakan pula kepada orang yang ditanggungnya. Wanita pula walaupun dapat separuh, tetapi itu hanya untuk dirinya sendiri. Tidak wajib berkongsi dengan sesiapa.

Katalah lelaki dapat 1000, wanita dapat 500. Lelaki perlu agih pada anak, isteri dan ibubapa. Mungkin hanya tinggal 100 atau 200 ringgit sahaja untuk lelaki itu. Tapi wanita itu sepenuhnya 500 ringgit hanya untuk dirinya. Untung wanita pula!

"Kita pernah panggil SIS untuk berdepan dalam isu hudud, tapi mereka tidak hadir." Jelas Ayah Chik lagi.

Kemudian Ayah Chik merujuk kepada dua tiga pimpinan yang berbeza pendirian pula.

"Dalam PAS pula ada orang baru dan orang lama. Macam-macam jenis orang ada. Dulu orang masuk PAS termasuk kaki laga ayam. Mereka masuk PAS sebab marah pada polis yang rampas ayam-ayam laga mereka (yang digunakan untuk bertaruh). Mereka tak tahu kalau kita yang memerintah, lagi teruk mereka kena". Ayah Chik ketawa lagi. Seronok kami melihat raut wajahnya.

"Semua yang masuk kita susun proses tarbiyah untuk mereka. Berselisih pendapat dalam PAS juga berlaku sejak dulu lagi. Cuma bezanya dulu tiada whatsapp. Perselisihan tak sampai ke pengetahuan umum."

"Jika dibanding dengan Indonesia, perpecahan di kalangan mereka cukup merugikan Islam. Parti politik mereka mencecah 20 buah. Jika dicampur undi 5 calon presiden dari parti Islam dalam pilihanraya presiden baru-baru ini, mereka dapat 31%. Jokowi hanya meraih 21% undi." Ujar Ayah Chik kesal.

"Mereka (pimpinan PAS) yang tak faham tentang SIS ini kita sudah buat perjumpaan. Kita berbincang dengan mereka. Ada yang berpendapat SIS sekarang sudah berubah. Kita nyatakan, jika benar mereka sudah berubah, masyarakat masih tidak tahu. Tindakan membela itu hanya merugikan sokongan umat Islam. Dan saya meneliti, sebenarnya mereka tidak berubah pun. Ini masalahnya apabila maklumat yang diterima tidak tabayyun dengan tepat."

"Kepelbagaian ini wujud zaman Nabi lagi. Ada orang munafiq, ada juga jenis lemah iman. Sebab itu dalam memahami Islam perlu dipelajari asbabul nuzul. Baru tahu ayat itu turun pada golongan mana." Jawab Ayah Chik. Kami mengangguk faham.

Kadang-kadang ilmu yang disampaikan Ayah Chik itu sudah kami pelajari sebelum ini namun kami mungkin tidak tahu bagaimana aplikasi terhadap keadaan sekeliling untuk memahami suasana. Itulah kelebihan beliau sebagai seorang Faqih.

Soalan Kedua:
Sepanjang pemerhatian Ayah Chik, ada tak negara Asia yang ada potensi utuk Islam bangkit setelah melihat kemelut di Timur Tengah?

"Semua itu dalam Ilmu Allah SWT. Bagi kita, dimana bumi dipijak disitulah kita berjuang." Jawab Ayah Chik ringkas. Pada saya jawapan tersebut sudah memadai untuk kita berhenti berteka-teki. Teruskan saja bekerja. Matlamat kita pahala dan syurga.

"Nabi SAW dalam satu khutbah jumaatnya menyatakan, khilafah selepasku bermula dengan manhaj Nubuwwah, kemudian muncul sistem beraja, kemudian muncul pemerintahan yang menggigit, dan kemudian akan kembali dengan pemerintahan yang mengikut manhaj nubuwwah. Ini bermaksid Islam akan kembali memerintah walau apapun yang kita lihat berlaku hari ini."

"Nabi juga bersabda, akan dibuka kota Costantinople dan Roman. Costantinople di Turki twlah dibuka di oleh Sultan Muhammad Al-Fatih. Kota Roman pula merujuk kepada pusat agama Kristian Roman Katolik iaitu Vatican City. Ia masih belum dibuka. Masanya akan tiba." Raut wajahnya Ayah Chik mempamerkan keyakinan beliau akan janji kemenangan itu." Tambah Ayah Chik penuh yakin. Meremang bulu roma saya.

"Di Eropah, Islam tidak mati. Umat Islam wujud di Bosnia sejak lama dulu menentang penjajahan Serbia. Turki, Saudi, Malaysia dan Iran turut membantu rakyat Bosnia sehingga termeterai perjanjian Dayton."


"Perjanjian itu adalah untuk membebaskan Bosnia, tetapi dengan syarat tidak menjalankan syariat Islam. Presiden yang dilantik pada waktu itu melihat keperluan untuk menerima dahulu perjanjian tersebut dengan keadaan yang berlaku. Keadaan perang yang begitu lama menyebabkan kebanyakan umat Islam tidak sempat belajar Islam. Yang tidak tahu babi itu haram pun ada." Jelas Ayah Chik.

Saya teringat cerita Mat Sabu waktu di Syria dahulu, dalam satu majlis makan malam, semasa beratur mengambil makanan, seorang rakyat Bosnia mencedok lauk babi dihadapan. Mat Sabu kata "No, its a pork.". Orang itu mengangguk, dia letak kembali babi, dia pergi cedok kuahnya. Aduyai.

"Adapun negara yang ada potensi kebangkitan Islam adalah negara arab, sebagai pusat Islam yang dikenali." Ayah Chik menyatakan pendapatnya. Beliau langsung tidak melihat peperangan yang berlaku di sana sebagai petanda buruk bagi Islam. Semestinya beliau sandarkan pendapat itu kepada hadis-hadis Akhir Zaman. Antaranya tentang Malhamah Kubra, kebangkitan Imam Mahdi dan turun Nabi Isa.

Kejayaan Islam tidak boleh diukur dengan kuat atau lemahnya fizikal umatnya. Sebaliknya ia ditentukan dengan Iman yang kental. Itulah punca yang menjemput pertolongan dari Allah SWT.

"Di Afrika, Nigeria memiliki majoriti penduduk Islam, walaupun pemerintahnya Kristian. Di Asia Tenggara pula, umat Islam seramai 300 juta orang melibatkan Indonesia, Thailand, Brunei, Filipina, Kemboja dan sekitarnya. Suatu jumlah yang teramai di dunia."

"Perkara ini semestinya dikhuatiri oleh barat. Kerana itulah Amerika memindahkan pengkalan tenteranya dari Filipina ke Singapura. Mereka turut memaksa Malaysia memberikan bantuan melalui pengkalannya di Lumut."
Ayah Chik mula membuka isu politik Asia Tenggara pula.

"Malaysia negara kecil. Mudah dipermainkan kuasa besar. Nahas pesawat yang berlaku ada kaitan dengan politik antarabangsa ini. Sebagaimana kita ketahui, saingan terbesar Amerika dalam bidang ekonomi adalah China. Dahulunya Jepun menjadi musuh utama ekonomi barat tetapi kini menjadi sebahagian dari mereka. Singapura walaupun cina, mereka mengambil pendekatan untuk bersama Amerika."

"Barat menggunakan cara yang berbeza bagi menghadapi umat Islam di Asia Tenggara. Amat sukar bagi mereka menghadapi dari sudut ketenteraan. Indonesia memiliki puluhan ribu pulau-pulau kecil. Secara automatik ia bakal menjadi pengkalan tentera Islam yang sukar buat mereka. Sebab itulah hubungan serantau perlu sentiasa diperkuatkan." Ayah Chik seolah melihat jauh tentang masa depan dunia. Suatu perubahan besar bakal berlaku dalam kehidupan manusia.

"Dari sudut gerakan Islam yang ada di rantau ini, PAS dilihat mampu ke depan dengan suasana politik Malaysia. Sebab itu PAS menjadi perhatian ramai. Saya pernah dikunjungi duta Amerika sebelum PRU lepas. Asalnya beliau hendak berjumpa di Pejabat Agung kita, tetapi dibatalkan dan minta kita datang ke kediamannya."

"Saya pergi dan berdialog banyak perkara dengannya. Kami bertiga dan pihaknya bertiga. Beliau pernah tanya saya, kalau PR menang siapa jadi PM?" Ayah Chik pun senyap sekejap. Kami berdebar menanti jawapan.

"Saya tanya dia pula, dah tu Amerika mahu siapa? Terus dia senyap tak tekata." Berderai kami ketawa. Nampaknya orang putih itu silap pilih orang untuk menduga.

"Lee Kuan Yew, Bekas PM Singapura juga pernah mengunjungi saya. Asalnya kata nak datang Rusila. Saya kata jumpa KL lah. Nanti orang Rusila terkejut tengok dia." Ayah Chik ketawa lagi.


"Dia datang dengan menteri kanan dan intelligent sekali bertanya tentang dasar PAS. Saya nyatakan kita tidak boleh baca peta dunia mengikut perkiraan 200 tahun dahulu. Kalau baca juga, Amerika adalah kepunyaan Red Indian, bukan orang putih."

"Islam bawa hak yang adil untuk semua. Saya juga tegaskan umat Islam di selatan Thai perlu diberikan hak yang sepatutnya sebagai rakyat. Lee Kuan Yew cepat-cepat menyampuk: Kami di Singapura beri telah hak pada orang Islam!" Memang lucu ceritanya.

Soalan ketiga:
Bagaimana Isu umat Islam di Sarawak. Dengar cerita DAP Sarawak putuskan hubungan dengan PR?

"PAS mengambil jalan tahaluf siasi sebagai strategi semasa kerana melihat potensi sokongan daripada bukan Islam. Dahulu semasa zaman Mahathir, PAS lebih kuat di Kedah berbanding Kelantan. Malangnya Mahathir membuka penempatan bukan Melayu di setiap Parlimen di Kedah. Waktu itu bukan melayu tidak bersama kita. PAS kalah di Kedah dengan undi penentu dari kaum Cina. Satu kawasan kita kalah 500 undi, pengundi Cina ada 1000."

"Selepas dari tahaluf PR, PAS berjaya menang di Kedah." Sambung Ayah Chik ringkas.

"Walaupun begitu, kita harus memahami bahawa undi teras di Malaysia adalah undi Islam. Ini undi akidah. Adapun undi bukan Islam semata-mata undi kerana kepentingan. Sebab itu kita kena sedar, politik kaum Cina dipengaruhi oleh NGO, bukan parti politik. Kalau NGO suruh undi DAP mereka undi. Kalau suruh MCA, MCA lah. Orang melayu kita di dun Bandar (Terengganu) pilih MCA semacam." Tersengih Ayah Chik sinis.

"Sarawak agak berlainan suasananya. Islam bukan majoriti di sana. DAP pernah panggil PAS untuk berbincang soal Islam. Al-Marhum Ustaz Fadhil banyak wakilkan saya untuk berbincang dengan DAP waktu itu. Mereka minta PAS jangan bercakap berkenaan Islam. Kita kata tak boleh. Ini dasar PAS."

"Kita tanya apa mereka tidak setuju tentang Islam. Antaranya hudud dan hak asasi. Kita terangkan satu persatu pada mereka. Selepas itu mereka bermesyuarat menentukan nasib bersama PAS. Ada yang cadang keluar BA, dan sebenarnya ramai yang tidak setuju keluar, tetapi tidak hadir mesyuarat itu. Akhirnya pada tahun 2003, mereka isytihar keluar dari BA."

"Walaupun merugikan politik, hasil dialog itu menyebabkan ada pemimpin DAP yang menyertai dialog tersebut menghubungi kita dan memaklumkan mereka telah memeluk Islam." Terang Ayah Chik bangga. Ia satu kejayaan bagi Islam.

"Jangan bimbang. PAS ni laku sebenarnya. Ramai yang benci kepada UMNO pilih kita. Dulu masa Mahathir dipecat, beliau kerap berceramah di pentas PAS. Ku Li semasa keluar dari UMNO juga bersama dengan PAS. Anwar selepas dipecat buat kerjasama dengan PAS." Kata-kata Ayah Chik sangat bercahaya. Begitu besar jiwa orang lama ini. Kuasa politik bukan sasaran utamanya. Redha Allah lebih besar nilainya.

Soalan keempat:
Apakah sikap PAS terhadap PASMA?

"Ada orang kata PASMA ni 'PAS yang berMAsalah.' PasMa." Ayah Chik mulakan jawapan. Makin kelakar pula dia. Terasa memang benar-benar perkongsian anak beranak. Semacam dengar cerita dari seorang atuk pula. Ralit saya dibuatnya.

"Bila PAS jadi pilihan ramai, macam-macam orang masuk. Tapi bukan semua boleh bersama cara PAS. Ada yang rasa cara PAS lambat menang. Ada yang lihat kena tahaluf sampai mati. Ada juga yang rasa kena bersama UMNO."

"Kena faham konsep kerjasama dalam Islam bukan sekadar tahaluf. Ada ghidmah, himayah, zimmah, muahadah, istianah, suluh, muwadaah, wala' dan sebagainya."

"Himayah contohnya seperti hubungan Islam dengan Abu Talib. Zimmah dengan orang yang mahu bersama Islam sehidup semati, cuma tidak mahu peluk Islam. Muwadaah pula gencatan senjata. Istianah pula contohnya seperti hubungan Islam dengan Raja Najasyi." Ayah Chik mula membuka lembaran ilmu baru. Terbeliak mata saya mendengar penjelasan ditilnya. Banyak point saya terlepas tulis sebab fokus pada penyampaiannya.

"Hubungan-hubungan ini semuanya penting dan ada ketikanya. Tidak hanya sewaktu Islam kuat kita bekerjasama. Nabi pernah meminjam baju besi dari Safwan, seorang yahudi. Padahal baginda boleh saja pinjam dari orang Islam lain seperti Abdurrahman, Uthman dan sebagainya. Ini bertujuan untuk menunjukkan akhlak Islam dalam berurusan.


"Nabi pernah pinjam alatan perang dari Hakim bin Hizam dalam perang Hunain. Waktu itu Islam telah menguasai Mekah. Nabi tidak perlu lagi meminjam. Namun hasil mempamerkan akhlak dalam urusan peminjaman itu, Hakim akhirnya memeluk Islam." Ilmu sirah yang dimilikinya mencurah keluar spontan. Sememangnya Ayah Chik pakar sejarah.

Kebanyakan kumpulan serpihan PAS ini muncul kerana tidak faham konsep kerjasama dalam Islam ini. Tetapi semuanya tidak bertahan lama. Sejak tahun 70an wujud pecahan seperti Parti Islah, Jemaah Ansar, Hamim. Ia muncul antaranya kerana kerjasama PAS dalam BN seterusnya APU. Ada juga yang muncul kerana tidak mahu PAS keluar BN. Tapi akhirnya ia lenyap. Sebahagian masuk PAS kembali, sebahagian pergi kepada UMNO.

"Al-Arqam juga serpihan PAS. Ramai yang tak tahu pengasasnya Ustaz Ashaari sebenarnya AJK PAS Selangor. Dia melihat tarbiah PAS terlalu longgar lalu membawa caranya tersendiri. Dua tiga orang pemimpin PAS (saya lupa nama yang Ayah Chik sebut) tertarik untuk menyertai Arqam. Namun setelah lama kumpulan itu semakin mengarut, sehingga wujud ajaran menunggu Imam Mahdi dan memuja beliau, orang tersebut kembali pada PAS dan meninggalkan Arqam." Kata Ayah Chik mengakhiri jawapan.

Saya ingatkan giliran saya untuk bertanya sudah tiba. Malangnya pengerusi terpaksa mengakhiri majlis segera. Saya lihat Ayah Chik masih belum puas berkongsi. Tergambar riak kekecewaan di wajah guru-guru kebanyakan. Mungkin kerana Ayah Chik puasa hari itu. Pengerusi mahu memberikan ruang yang lebih untuk beliau berehat.

Ya, cukuplah dulu untuk kali ini. Ayah Chik perlukan tenaga untuk hadapi pelbagai lagi manusia. Walaupun tamak pada ilmu itu terpuji, kami juga perlu meraikan orang lain.

Sejurus majlis ditangguh, Ayah Chik hulurkan tangan bersalaman dengan kami. Malu juga beliau sebagai tetamu kehormat yang memulakan salam. Itulah ajaran Islam. Pahala menghulur lebih besar dari yang menyambut. Akhlak beliau membuat orang sekeliling kenal ajaran Islam.

Dia kelihatan begitu gembira, senyumnya melebar luas terutama apabila bersalaman dengan guru-guru veteran yang sebaya dengannya. Lama beliau pegang tangan Ustaz Raja Sulong, rakan sebayanya sejak usia persekolahan. Mungkin kerana rindu dengan bekas rakan sejawatnya di MDQ dahulu. Beliau, Al-Marhum Ustaz Harun Taib dan Ustaz Husain Awang juga antara guru terawal mengajar di MDQ. Hanya Ustaz Raja Sulong yang kekal mencurah bakti.

Selepas sesi bergambar, kami terus bersurai. Saya berdoa Allah beri peluang lagi bersama Ayah Chik dalam majlis seumpama ini. Banyak lagi soalan yang berbuku di hati.

Artikel ini diolah daripada sumber asal di:-

Wednesday, 22 October 2014

Isu Pegang Anjing: Penjelasan, Hukum dan Komplikasi


Isu pegang anjing yang heboh sehari dua ini bukan sekadar dibincangkan dari sudut hukum atau dari sudut fiqh, tetapi lebih dari itu ia perlu dibincangkan dari sudut pemikiran moden yang berkembang dalam kalangan generasi baru.


Dari sudut fiqh, ada mazhab yang ketat dalam isu pegang anjing dan pula mazhab yang memberikan ruang dan kelonggaran seperti mazhab Hanafi. Ia sepatutnya tidak menjadi masalah yang besar kerana wujud kelonggaran dari sudut agama. 

Masalahnya ialah ia bercanggah dengan adat dan tradisi orang Melayu di negara ini yang berasa canggung dengan anjing. Ia dikukuhkan dengan mazhab fiqh orang Melayu yang berasaskan kepada mazhab kurang mesra dengan anjing. Kalau pegangpun, hanya perlu basuh sahaja bukanlah haram. 

Dari sudut pemikiran, mengetengahkan isu pegang anjing merupakan suatu jenis pemikiran yang dinamakan sebagai post modernism iaitu pemikiran yang sentiasa mengkritik apa yang telah mapan atau yang sudah biasa diamalkan dalam masyarakat atau melakukan sesuatu menyanggah kebiasaan masyarakat. Ia menjadi trend semasa kepada generasi masa kini yang dipercayai atas alasan itu adalah hak mereka.

Banyak aktiviti kehidupan generasi masa kini yang cuba menyalahi amalan kebiasaan pada masa lalu yang dianggap sebagai inovasi. Malah, menyanggahi amalan kebiasaan dalam sesetengah keadaan sangat digalakkan atas nama inovasi. Memang tidak semua sanggahan terhadap tradisi itu haram melainkan sekiranya menyanggah perkara yang diwajibkan di dalam agama. 

Sikap suka menyanggahi amalan tradisi termasuk agama adalah sifat utama kepada liberalisme dan pluralisme yang cuba membebaskan diri dari sebarang ikatan autoriti. Sifat agama yang mengikat tidak membenarkan penganutnya membebaskan diri dan melakukan amalan ikut hawa nafsu. 

Namun, bagi seorang pluralis dan liberalis, tradisi dan agama telah mengongkong kehidupan mereka. Maka, menyanggahi tradisi termasuk agama adalah suatu keperluan. Mereka mengkritik biarpun perkara yang sudah tetap di dalam agama. Fenomena inilah yang disebut sebagai post modernism.

Isu pegang anjing merupakan suatu usaha yang halus yang boleh dikaitkan dengan usaha untuk meruntuhkan pegangan umat Islam terhadap tradisi, termasuklah agama. Setakat ini, pegang anjing bukanlah suatu isu penting yang perlu diangkat sebagai bahan perbincangan oleh umat Islam. Banyak lagi isu yang perlu diberikan perhatian oleh orang Islam seperti isu akidah, isu arak dan sebagainya. Tetapi ia diangkat sebagai isu yang penting dipercayai mempunyai agenda yang tertentu dan sebahagian dari kempen besar contestation dalam “politik baru” yang ingin dibawa masuk ke dalam negara ini. Kali ini mungkin pegang anjing, mungkin akan datang lain pula isunya. 

Saidina Ali berkata: kata-kata yang betul, tetapi digunakan untuk tujuan yang salah. 

Nota - Post modern adalah asas kepada Islam liberal dan post Islamism. Mereka suka mengkritik walaupun perkara yang tetap di dalam Islam

Di bawah ini pula, apa kata Ustaz Azhar Idrus:-


Ini pula apa jawapan balas daripada seorang penceramah agama yang "diperangkap" dalam program ini:-


PEGANG ANJING, HUKUMNYA JELAS. TETAPI DIGUNAKAN UNTUK TUJUAN YANG SALAH !!!

Thursday, 9 October 2014

[WAJIB BACA] Menjawab Isu Konspirasi Antarabangsa Menyerang PAS & TGHH !!!

Mungkinkah ini jawapan yang paling kukuh dan rasional kenapa YB Ustaz Nik Mohd Abduh menulis artikel, "Islam Tanpa Syariat" tempoh hari? Seperti yang sedia maklum ramai yang mengkritik ahli Parlimen Pasir Mas itu berkenaan dengan "Konspirasi Antarabangsa Menyerang PAS & Menjatuhkan Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang (TGHH)" !?


Penulis melihat ada dalam kalangan kita yang cuba menolak apa yang disebut YB Nik Mohamad Abduh tanpa melihat keseluruhan cerita. Mereka cuba mengkelakarkan isu ini apabila tulisan beliau dipetik oleh Berita Harian dan Utusan Malaysia. Mereka menyamakan apa yang disebut sebagai konspirasi teori.

Mari kita melihat asas kepada apa yang disebut Ustaz Nik Mohamad Abduh:-



1. Dunia ISLAM sekarang dalam mood kebangkitan, dari timur dan barat. TGHH menjadi rujukan di seluruh dunia dalam kalangan Gerakan Islam.

2. TGHH menjadi penasihat utama kepada Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin sehingga ada ura-ura beliau dilantik sebagai Mursyidul AM Ikhwanul Muslimin selepas pimpinan Ikhwanul Muslimin ditangkap (Perlu diingat, TGHH bukan warga Mesir & bukan berbangsa Arab).

3. Beliau terlibat menyelesaikan konflik Yaman, kawan akrab beliau Dr Majid Az Zindani adalah pemimpin Parti ISLAH Yaman. Konflik di Yaman sekarang adalah kerana mahu menghapuskan Parti ISLAH.

4. Sebelum Pemilu Indonesia, TGHH turun ke Indonesia supaya parti-parti ISLAM yang terdapat di Indonesia berjumlah lebih 40 buah parti agar bersatu. Beliau turun ke pesantren Darus Salam dan menyeru kepada penyatuan Partai ISLAM, namun tidak mencapai hasil yang diinginkan. 

5. Beliau mengusahakan penyelesaian kepada pergolakan di selatan Thailand dan Filipina, menggunakan hubungan dengan kerajaan Malaysia supaya urusan diplomatik dapat diselesaikan.

6. Beliau diberi penghormatan untuk memberi panduan dalam ESOM, Persidangan Ekonomi di Turki yang ingin menembusi Pasaran Eropah melalui jaringan-jaringan yang sudah diatur oleh Almarhum Necmettin Erbakan (Milli Gorus).
Necmettin Erbakan
Peranan-peranan yang dimainkan oleh TGHH di peringkat antarabangsa ini menimbulkan ketidaksenangan oleh dasar Barat dan Amerika. Amerika cuba menyekat pergerakan TGHH melalui pelbagai cara. 

Ini baru sedikit peranan yang didedahkan, belum kira lagi bagaimana berpengaruhnya beliau kepada Rashid al-Ghannushi, Ketua Parti an Nahdah di Tunisia, bagaimana pula peranan beliau ketika mana menjadi perunding Sunni-Syiah dalam hal keselamatan dan persenjataan di Iran yang dijemput oleh Presiden Ahmadinejad sendiri sehinggakan menjadi orang penting dalam hampir semua proses perdamaian yang melibatkan konflik serta pergolakan di seluruh dunia Islam. Sehinggakan kepada proses perdamaian Perang Iraq-Kuwait, beliaulah antara individu yang terlibat.

Namun, oleh kerana TGHH terkenal dengan cara politik Muwajahah Silmiyyah dalam melawan Barat, mereka tidak dapat mengaitkan TGHH dengan sebarang aktiviti keganasan.

Oleh itu, barat menerusi dialog dan wacana intelek, cuba membawa kembali metode serangan kepada Dunia ISLAM yang digepalai TGHH dengan cara lama, Cara penyusupan ke dalam Gerakan ISLAM. Cara yang pernah digunakan untuk meruntuhkan empayar ISLAM Turki Uthmaniyyah.

Di Mesir, kita melihat Kamal Helbawy, yang dulu pernah jadi Presiden World Assembly of Muslim Youth (WAMY) dan wakil Ikhwanul Muslimin di United Kingdom, telah berpaling tadah kepada regim As Sisi.

Dalam banyak perkara, gerakan-gerakan ISLAM di seluruh dunia ditanam pertembungan dalaman melalui rancangan yang jahat dan sudah lama dirancang.

Oleh kerana di Arab Saudi, parti politik dan Ikhwan Muslimin diharamkan, USA dapat menjalankan hubungan baik dengan Arab Saudi. Namun begitu, hubungan dinamik, Iran, Hizbullah, Arab Saudi, Mesir, Syria dan lain-lain memeningkan semua pihak. Kedinamikan ini banyak tidak difahami melainkan diterangkan satu persatu oleh TGHH kepada pimpinan gerakan ISLAM sedunia.

Sebab itu, jika kita meneliti pergerakan Syeikh Yusuf Al Qardawi, bukankah sebelum ini beliau lantang menentang syiah dalam kes Syria? Kenapa akhir-akhir ini, beliau tidak lagi cuba mencampuri isu Syiah - Syria? Dan kenapa pula TGHH diterima senang hati sebagai Naib Presiden Ittihad Ulama sedunia? Semua ini bukan kebetulan semata-mata seperti mana yang difahami  oleh kebanyakan orang.


Akhirnya, barat mengambil contoh AKP Turki dan An Nahdah Tunisia, sebagai senjata baru untuk menenggelamkan aspirasi gerakan ISLAM. Mereka cuba memberi penekanan dan sokongan kepada cara Turki dan Tunisia membawa politik ISLAM. Akhirnya, media di dunia ISLAM dan Barat, dan juga melalui perbahasan akedemik, wacana politik baru islam (post islamisme) diangkat ke tengah-tengah fikiran umat ISLAM.

Kalau di Indonesia, Ahmad Dzakirin telah menulis satu buku kebangkitan Pos Islamisme bagi memuji AKP dalam Pemilu Turki. Ahmad Dzakirin adalah lulusan Nanyang insitute of Technology, Singapura. Tulisan dia banyak menyokong cara AKP, namun begitu secara faktanya, beliau banyak mendedahkan bagaimana strategi AKP sedikit demi sedikit terikat dengan sekular dan liberal demokrasi di Turki.

Berkenaan isu menjatuhkan TGHH adalah untuk menidakkan peranan beliau di peringkat antarabangsa dan menyekat cara serta manhaj beliau yang berpolitik di Malaysia. Gerakan ISLAM seluruh Dunia telah memandang PAS sebagai satu model yang paling baik apabila berhadapan dengan Demokrasi dan Muwajahah Silmiyyah. 

Malah, menurut laporan dari sahabat-sahabat Ikhwanul Muslimin di Mesir dan Timur Tengah, mereka amat terkejut apabila Abang Mat Sabu menjadi Timbalan Presiden PAS dan digunakan oleh media Syria berbulan-bulan sebagai propaganda sokongan PAS terhadap Regim Basyar Assad. Lawatan Mat Sabu ke Syria pada tahun lepas menjadi isu hangat dalam gerakan ISLAM sedunia.

Gerakan memposisikan pemimpin citra Post Islamisme adalah gerakan terancang di seluruh dunia. Kegagalan An Nahdah menangani politik Tunisia, PKS menangani politik Indonesia menyebabkan aliran baru dunia ISLAM ini hilang punca selain bergantung penuh kepada model Turki.

Kelemahan model Turki ialah AKP berjuang dalam lanskap sekular yang TOTAL. Ini memberi sedikit rukhsah kepada AKP bertindak begitu. Namun begitu, ia turut dikecam Almarhum Necmettin Erbakan kerana merasakan AKP terperangkap dalam rancangan Israel raya oleh pergerakan Zionis. Keberadaan AKP dalam politik Turki boleh sangat dijawab secara ilmiah oleh mana-mana ilmuwan gerakan ISLAM yang lain.

Gerakan Post Islamisme ini banyak didokong secara ilmiah oleh tokoh-tokoh dari International Institute of Islamic Thought (IIIT) dan disokong oleh dana yang banyak melalui Prince Talal Al Waleed Foundation yang berpusat di Amerika dan Riyadh. Mereka juga bergabung dengan NGO-NGO Islam seluruh Eropah dan Barat dalam mengetengahkan fekah baru yang diketengahkan mereka.

Malah kalau dilihat dari semua penulisan mereka, bentuk Daulah ISLAMIAH tidak banyak diiktiraf, sebaliknya hanya menumpukan kepada hak kesaksamaan universal. Sedangkan isu ini hanya terkandung dalam Fiqh Al Aqliiyyat (minoriti) yang diaplikasi di Barat. Fiqh ini tidak boleh dieksport ke dunia ISLAM yang majoriti umat ISLAM adalah rakyatnya.


Perkembangan semasa dalam PAS, yang boleh disimpulkan dalam perbahasan Muktamar ke-60 baru-baru ini juga, memberi gambaran bahawa terdapat gerakan yang cuba menolak Tuan Guru Presiden. Ucapan Ketua Pemuda Kelantan, Ustaz Fadhli Shaari dalam membahaskan ucapan dasar Presiden, telah mendedahkan ada rakaman rancangan PasMa yang diadakan di Pustaka Az Zahra, Kota Bharu. Pendedahan beliau ini langsung tidak disentuh oleh mana-mana pemimpin lain dan ini menandakan bahawa isu yang dibawa boleh menyebabkan pembongkaran terus dibuat dan akan merugikan pergerakan tersebut.

Sebaliknya, mereka cuba menutup dengan isu remeh-temeh, label dan adab yang sudah diterangkan oleh ramai perwakilan.

Asalnya, penulis mahu menulis secara ringkas berkenaan gerakan menjatuhkan Tuan Guru Presiden PAS di peringkat dunia dan Malaysia. Namun, kerana perlu menjelaskan dari pelbagai sudut, tulisan ini terpaksa dipanjangkan. Moga tulisan ini mampu memberi pencerahan.

Artikel di atas sudah diolah daripada tulisan asal :

Sunday, 5 October 2014

[Bongkar] Taktik CIA, Mossad & Intelijen Barat Menyerang PAS di Malaysia


Islam Tanpa Syariat


Ya, ia adalah konspirasi musuh Islam antarabangsa.

Gerakan Islam yang istiqamah berjuang menegakkan agama dan syariat Islam mestilah dilumpuhkan. Di sisi mereka, inilah musuh Yahudi yang akan mengancam survival mereka dan sekutu mereka.

Mereka telah lakukannya di Mesir. Sehebat mana Mursi memilih laluan demokrasi yang sempurna tetapi beliau telah menggunakannya untuk memperkenalkan Islam yang benar dan adil. Itu ditakuti barat. Justeru Mursi mesti ditumbangkan lebih awal sebelum auranya merebak ke seluruh dunia Islam.

Ikhwanul Muslim yang mengepalai perjuangan menegakkan syariat Islam hari ini dipenjarakan daripada aktif di laluan demokrasi besi.

Mereka juga telah melakukannya di Syria. Penentangan dan jihad yang dimulakan oleh fatwa para ulama muslimin yang membenarkan jihad bersenjata ke atas penghisap darah Bashar Al Asad mestilah disekat kerana ia pasti akan berakhir dengan kemenangan kumpulan Islam yang menyeru kepada sistem syariat Islam yang adil dan berjaya.

Mereka membawa masuk perang mazhab Sunni-Syiah dan golongan ekstrimis terlarang seperti ISIS. Maka Syria hancur dan fitnah ugama berterusan memporak perandakan Syria, negara yang dipenuhi para ulama besar.

Mereka telah cuba menghancurkan HAMAS di Palestin. Bilionan wang ringgit telah dibelanjakan walaupun terpaksa menerima hakikat kekalahan kepada singa-singa Allah yang kian mendekati Baitul Maqdis. 

Mereka sesekali tidak akan berputus asa. Perang di Palestin akan terus dicetuskan walaupun dengan alasan nyamuk sehinggalah mereka berjaya menghancurkan HAMAS. 

Di Turki, mereka membenarkan Erdogan dan partinya bergerak dalam perjanjian yang mengikat. Tiada Syariat Islam dan tiada seruan ke arah itu. Tentera Turki yang jauh lebih sekular daripada tentera Mesir memerhati dengan tajam. 

Di Yaman, Syeikh Abdul Majid Zindani dan parti Islahnya mesti ditumbangkan sebelum harum auranya memikat seluruh negara Yaman. Mereka membakar dan menghasut kumpulan Syiah Houthi Zaidiyah yang tidak pun dimusuhi oleh Syeikh Zindani agar memberontak dan menggempur Sana'a. Universiti sarat ilmu Syeikh digempur sedangkan kedutaan Amerika tidak pun disentuh walaupun slogan mereka adalah 'Maut buat Amerika'.

Begitulah perancangan jahat musuh Islam antarabangsa bagi menyekat kebangkitan Islam yang semakin diterima rakyat. Semuanya dilakukan samada secara perang memerangi pengganas atau lebih licik, menimbulkan fitnah ke atas gerakan Islam daripada dalam.

Misi mereka adalah menukar laungan perjuangan menegakkan syariat Islam kepada perjuangan Islam tanpa syariat. 

Ya, mereka menerima hakikat umat Islam sedang kembali kepada ugama dan sedang meninggalkan pemikiran warisan penjajah yang sedang nazak bersama parti-parti politik mereka yang korup. 

Tetapi mereka mesti melumpuhkan seruan ke arah Islam yang menyeluruh dan menggantikannya dengan Islam yang mereka boleh terima dan berkompromi dengannya. Maka dijaja projek Islam tanpa Syariat. Dijadikannya manis dan harum dengan seruan ke arah maqasid syariah yang bermatlamatkan keadilan buat semua.

Mereka bercakap mengenai keadilan untuk semua. Inilah Islam. Apa yang dilihat adil oleh mereka, maka itulah Islam walaupun ianya diukur sebaliknya oleh syariat Islam. Mereka bersedia dengan akalan untuk mentakwilkan maksud nas dan hukum ugama.

Akhirnya lenyaplah seruan ke arah syariah Islam yang merupakan maksud sebenar bicara mengenai Maqasid Syariah dan Siyasah Syar'eiyah.

Begitulah fitnah melanda gerakan Islam di seluruh dunia. Fitnah krisis identiti.

Di Malaysia, PAS konsisten berjuang menegakkan ugama di dalam negara. Mengekalkan kebaikan yang sudah sedia ada dan berjuang menyeru kepada syariat dan sistem Islam yang menyeluruh berpandukan al Quran dan al Sunnah yang tidak diimani atau diragui oleh pemerintah.

Itulah maksud sebenar Islam sebagai ugama persekutuan.

Ini telah merimaskan barat dan musuh Islam antarabangsa. Justeru dengan BN yang semakin tua dan diambang kejatuhan, kehadiran PAS sebagai pemain utama dalam pakatan pembangkang adalah cukup merimaskan. 

PAS mesti diserang. Ia mesti dipinggirkan daripada menjadi kekuatan utama dalam PR. Ia mesti dilemahkan daripada dalam. Kekuatannya mesti diragut dan dibiarkan hidup dengan kekuatan baru yang bersedia menolak seruan ke arah syariat Islam.

Mereka menemukan kekuatan asal itu berpaksi dan berpangkal di dalam institusi Majlis Syura Ulama PAS yang diketuai al Mursyidul Am dan kehadiran para ulama yang memimpin parti PAS di ketuai presiden PAS.

Jika anda bertanya, adakah gerakan menjatuhkan TGHH dan memperlekeh Majlis Syura Ulama PAS adalah projek konspirasi musuh Islam antarabangsa? Saya jawab, YA.

Ahli dan pendukung PAS mestilah dalam kesedaran yang tinggi.

AJK PAS Pusat
Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

Tuesday, 16 September 2014

Krisis MB Selangor : Dari Sudut Pandang Pak Subky Latif [Full Complete Sets]

Tiada yang berani mempertikaikan kewibawaan beliau. Pengalaman serta hujjah yang dikemukan dalam setiap isu dihormati kawan dan lawan. Cukup cermat, tiada bias kepada mana-mana pihak namun analisisnya cukup lengkap, padat dan halus. Fakta-fakta sejarah yang dikemukan dalam setiap kali artikel beliau tak boleh disangkal dan bagaimana beliau menarik "throwback" segala peristiwa yang berlaku semenjak zaman penubuhan PAS supaya dapat dijadikan ibrah dan pengajaran dalam setiap isu yang berlaku kini. Hampir semua ahli PAS sejak dulu lagi membaca tulisannya terutama melalui kolumnya di dalam akhbar rasmi parti, Harakah.


Di sini saya sediakan rentetan kupasan yang ditulis oleh Pak Subky mengikut tarikh kronologi berkenaan Isu MB Selangor :-


1] Embi Selangor mungkin giliran PAS (07 Julai 2014)

HANYA Tan Sri Khalid Ibrahim yang konsisten mengatakan dia akan menjadi Menteri Besar Selangor hingga penggal yang ada berakhir. Rata-rata yang mendakwa juru cakap PKR berpendapat dia mesti digantikan.

Hingga pimpinan de facto PKR sendiri tidak menutup isu ketua kerajaan Selangor itu dicakapkan oleh penyokongnya dalam publik. 

Jika PKR sendiri membuka luas pintu kebebasan bersuara dalam parti atas isu itu, maka payahlah bagi regunya dalam Pakatan Rakyat untuk tidak tumpang mengatakan kewajaran dia digantikan. 

Hanya Sultan berkedudukan kekal hingga mangkat. Jawatan politik tiada yang disandang hingga mati. Demokrasi menentukan yang terbaik jawatan itu adalah sementara dan tidak terlalu lama dan tidak juga terlalu singkat. 

Tetapi dengan isu itu tiada kesudahan, tentulah ada jejasnya bagi Pakatan untuk menguatkan kedudukannya di Selangor, mempertahankan kerajaan dan membuat anjakan mengambil Putrajaya dalam PRU akan datang. 

Hakim kita semua adalah pengundi. Saya khuatir pengundi akan muak. 

Saya tidak bercadang untuk menutup isu itu dan tidak pula ada keupayaan menghalang kebebasan berdemokrasi. Tetapi pentadbiran tidak terganggu dan peluang Pakatan menerajui perubahan tidak terhalang. 

Kiranya Embi itu perlu ditukar, mungkin jalan keluar yang terbaik ia digilirkan sesama parti kerabat berasaskan siapa lebih mengikut keputusan PRU yang lalu. PAS tidak merebut kedudukan itu sekali pun dapat kedudukan sama banyak dengan DAP dan lebih dua kerusi dari PKR. 

Ia mahu meneruskan kestabilan politik, mengukuhkan pentadbiran Selangor sebagai kerajaan negeri contoh dan supaya rakyat dapat perkhidmatan terbaik. 

Tetapi jangan parti politik kerabat Pakatan mengira pimpinan kerajaan negeri milik tetap satu-satu parti. Tiga-tiga komponen di Selangor itu adalah sama besar. Maka tidak boleh dinafikan yang lain tidak boleh diberi peluang untuk mengetuai kerajaan. Cara pintar terbaik ialah menggilirkan peluang itu mengikut formula yang bijaksana yang Anwar dan Kit Siang amat arif mengenainya. 

PKR agak keliru dengan isu Embinya sekarang. Demi monopoli kekuasan tidak dimiliki parti tertentu, mungkin Allah berbolokkan masalah dalaman PKR dengan kedudukan Embinya bagi memberi peluang kepada parti lain mengambil gilirannya. Tuhan mungkin hendak mengilhamkan dua parti lagi punya hak yang sama, supaya tidak ada fikiran parti tertentu mengira ia adalah milik tetapnya. 

Jangan ada sesama sendiri merasa ia lebih besar dari yang lain. Jangan ada yang mengira bahawa ia adalah Umno bagi Pakatannya. 

Maka wajar PAS menawarkan kesediaannya sebagai jalan keluar kepada kecamukan kecil PKR dan dengan itu ia dapat memberi peluang kepada PKR menenangkan masalahnya. Jangan kata PAS mahu mengambil kesempatan. Ia sudah memberikan sumbangan sokongan positif kepada Pakatan ketika PKR kurang kerusi daripadanya. Ia mungkin pula kali ini dapat menyuburkan ketenangan kepada semua sambil membuktikan bahawa Pakatan adalah adil dan menghormati hak semua memimpin nengeri. 

Kita jangan nafikan hak DAP. Tetapi kita yakin DAP memahami keadaan yang ada dan pintar berpolitik serta berhikmat, menangani isu di Selangor ini mengikut kebijaksanaan Lim Eng Guan seperti yang ditunjukkan di Perak tahun 2008. 

Ia beroleh kerusi lebih banyak daripada PAS. Kerana memahami realiti politik memberi laluan kepada PAS. Formula itu tentu ada dalam ingatannya di Selangor yang PAS adalah sama tinggi dan sama rendah dibandingkan dengan Perak dulu. 

Jika giliran itu diberi kepada PAS, siapa calon Embinya? Dr. Rani Adun Meru yang berjaya sebagai Pesuruhjaya PAS menjadikan Adun PAS kurang dari 10 tahun 2008 kepada 15 tahun 2013. Dia tidak minta jawatan, tetapi terus setia pada Pakatan sekalipun dia pernah jadi orang besar PAS Selangor.


2] Raja – rakyat, jangan berbalah dalam publik (18 Julai 2014)

APAKAH perbezaan pandangan antara Sultan Selangor dan Anggota Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad dalam masyarakat terbuka satu amalan demokrasi yang sihat yang digalakkan? 

Mungkin bagi ketua negara/negeri itu Presiden/Gabenor perkara biasa perbezaan pandangan antaranya dengan individu/rakyat, tidak dikira melanggar pantang larang dan adab kerana ia dibenarkan dalam demokrasi dan demokrasi mengiranya sihat. 

Tetapi ada pandangan berbeza kalau di khalayak ramai Raja dan indivdu/rakyat berbeza pandangan secara terbuka sekalipun amalam demokrasi dijunjung tinggi oleh semua. 

Hal antara Sultan Selangor dan Khalid yang dilihad dalam media, tidak dikehendaki berlaku dalam publik secara terbuka, sama ada ia daripada pihak Khalid mahu daripada pihak Sultan. Bukan Khalid saja tidak dikendaki membuat penjelasan terbuka atas apa yang dihadapinya, Sultan juga tidak dikira berbuat betul menegur individu secara terbuka. 

Tiada mana-mana peraturan dan adab Raja tidak dikehendaki menegur amalan rakyat yang dikira perlu ditegur sebagai sifatnya pemerintah tertinggi, Raja boleh menegur tentang amalan membazir untuk berbuka puasa, menyatakan susah hati tentang pengambilan rasuah, tentang apa jua yang dikira buruk yang patut dibaiki. 

Semua teguran itu adalah bersifat umum, tidak dibuat atas mana-mana individu sekali teguran itu khusus untuk individu tertentu. Tetapi Raja itu dikira bijaksana jika tidak menegur seseorang secara terbuka. 

Britain mempunyai demokrasi yang terbuka, rakyat boleh menegur Queen hingga tidak tergamak kita mendengarnya. Suatu yang dikira terlalu bebas. Tetapi kita tidak mendengar Ratunya menjawab teguran dalam publik secara khusus. Mereka ada cara lain bagi menyesaikan pandangan berbeza itu. 

Raja Thailand dipercayai amat getik dengan kerenah orang-orang politik terutana 10 tahun terakhir ini. Tetapi Raja Thailand tidak pernah berkata begitu dan begini baik terhadaap fulan tertentu dan kumpulan politik tertentu. Raja menggunakan kaedah lain bagi menangani perbezaan. 

Zaman ini bukan semua orang boleh bersetuju dengan semua orang dan bukan semua bersetuju dengan semua pandangan raja. Tetapi tamadun masyarakat beraja berbangga atas kesetiaan kepada Raja dan mereka ada adab bagaimana memelihara kemuliaan dan kedaulatan Raja itu sesuai dengan amalan demokrasi dan bagi masyarakat Islam ia ada fekah bagaimana Raja sebagai ulil amri wajar dan wajib dipatuhi. 

Saya fikir Khalid sebagai seorang pengamal politik Islam dan pengkaji fekah politik Islam memahami konsep ulil amri dan mengikut disiplin itu sebaik mungkin. Sebagai seorang politik yang terbuka dia benar-benar mahu menjadi pengkritik masyarakat dan tidak mahu Raja diperangkap oleh golongan temenggong yang menggunakan istana bagi menyusahkan Hang Tuah. 

Sebagai pengamal politik Islam, demokrasi dan pengkritik terbuka, Khalid menyuarakan pandangannya sepanjang yang tidak terkeluar daripada batas disiplin. Raja tidak ada kebebasan yang ada pada Khalid. Ini tidak bererti Raja tidak berhak untuk menyampaikan bantahannya kepada Khalid. 

Khalid bukan maksum. Dia boleh melakukan kesilapan. Tetapi Raja wajar sentiasa bersama dengan penasihat, jika Khalid perlu ditegur bukan ditegur depan orang Sepang, tetapi Khalid boleh dipanggil ke Istana, berbincang dengan sekalian penasihat. Hebatnya Raja England dan Raja Thailand ialah atas kebijaksanaan penasihat masing-masing. 

Adakah Raja kita punya penasihat yang demikian atau Raja sentiasa memanfatkan penasihat. Kekuatan Raja, Presiden dan Perdana Menteri adalah atas wibwa penasihatnya. Pemimpin akan terperangkap kiranya penasihatnya seperti Temenggung zaman Melaka dulu. 

Saya yakin Khalid bukan macam Dr. Mahathir berdepan dengan Raja-Raja dulu, tetapi dia mahu Raja tidak diseret oleh penasihat yang tidak berwibawa.


3] PAS kekal dalam Pakatan (04 Ogos 2014)

PAS akan kekal dalam Pakatan Rakyat dan Pakatan Rakyat pun tidak mahu mengeluarkan PAS daripada Pakatan Rakyat. 

Kebanyakan pemimpin dalam Pakatan menolak ia akan berpecah. Baik Ustaz Hadi dalam kenyataan penyokong Khalid Ibrahim, dan Ustaz Nik Aziz dalam sokongan terbukanya pada pendirian Ustaz Hadi menyebut perlunya kekuatan yang ada pada Pakatan dipertahankan. Dan Anwar Ibrahim sendiri tidak melihat perbezaan sikap tentang MB Selangor boleh memecahkan Pakatan Rakyat. 

Hanya Lim Guan Eng saja kata ia akan pecah. Tetapi saya tidak pasti atas pandangan Lim Kit Siang. Saya tidak fikir Guan Eng akan meneruskan andaiannya. 

Maka sekarang tidak berbangkit lagi pendirian Ustaz Hadi boleh memecahkan Pakatan. 

Tidak berbangkit lagi PAS berada di persimpangan jalan mahu bersendirian atau keluar daripada Pakatan. 

Ustaz Hadi hanya tidak setuju Khalid digantikan atas alasan yang tidak kuat. Ustaz Hadi tahu akan reaksi banyak atas kenyataannya. Ustaz Hadi tidak kata ia sikap muktamad pertinya. Beliau berharap rakan-rakannya dalam PAS bersetuju dengannya dan pandangan Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Samad. 

Dengan pendirian dua tokoh utama ulama PAS ia disokong oleh akar umbi PAS. 

Pada saya, keduanya telah membuat sikap yang betul. Krisis MB Selangor itu boleh menghakis sokongan umum kepada Pakatan khususnya di Selangor. Jika hakisan itu berlaku, ia bukan sekadar Adun PAS yang ada di Selangor tidak dapat dipertahankan, Adun dan MP PKR pun tidak dapat dipertahankan. 

Sama ada PAS terkeluar daripada Pakatan atau sokongan pengundi terhakis, bukan saja ia mengancam beberapa MP PAS seperti Parit Buntar, Kota Raja, Sepang, Pokok Sena dan lain-lain, MP PKR juga akan terjejas seperti Kuala Kedah, Gombak, Pandan dan lain-lain. 

Yang ada di persimpangan jalan atas krisis MB itu bukan sekadar PAS dan Pakatan Rakyat tetapi PKR sendiri. 

Adakah PKR hendak meneruskan penggantian atas Khalid atau mengekalkannya sehingga penggalnya tamat? 

Adakah PAS campur tangan atas urusan rumah tangga PKR? Tidak mudah untuk mengatakan PAS campur tangan dalam urusan parti lain. PAS tidak kisah apabila PKR menggantikan Khalid sebagai ketua PKR Selangor atau pemilihan parti itu tidak menyokong Khalid. 

Tetapi Menteri Besar adalah urusan bersama. PAS mesti tahu dan dirundingi apabila MB hendak digantikan kerana di bawah MB itu ada exco PAS. Setakat ini keputusan itu adalah sebelah pihak. Ia dimaklumkan saja PAS dan DAP. 

Jika perlantikan MB kedah dan Kelantan PKR tidak campur tangan ia bukan alasan yang cukup. Kiranya PKR merasakan ada yang tidak kena dalam pelantikan dan perjalanan MB di bawah PAS, maka adalah kewajaran semua pihak memberikan pandangan. Kemudian berbincanglah. 

Apabila PKR dan DAP menolak percubaan PAS hendak membawa usul persendirian hudud ke Parlimen, maka PAS tetap mengekalkan sikapnya untuk terus dengan Pakatan dan tidak pernah mencerca penolakan itu. 

Setakat ini PAS tidak akan bekerjasama dengan Umno dalam menangani krisis di Selangor itu dan PAS dipercayai tidak mahu ada pilihan raya baru di Selangor. Yang Ustaz Hadi mahu krisis itu ditamatkan dengan mengekalkan apa yang ada. Kebijaksanaan Anwar amat dikehendaki bagi mengekalkan pengaruh Pakatan. Kenyataan sikap Ustaz Hadi itu tidak memecahkan Pakatan bagai satu azimat.


4] Saifudin hendak ke mana selepas ini? (14 Ogos 2014)

SAIFUDIN Nasution, Setiausaha Agung PKR telah mengambil peranan utama menyerang dan mempertikai integriti Tan Sri Khalid Ibrahim selepas Menteri Besar Selangor itu dipecat daripada partinya. 

Ia adalah hak politik dan kebebasan bersuara yang dijamin oleh perlembagaan. Saifudin cuba mengamalkan haknya mengikut semangat perlembagaan. 

Peranan itu sama dengan yang dimainkan oleh Tan Sri Syed Jaafar Albar, Ketua Penerangan Umno apabila Dato’ Onn Jaafar dan Aziz Ishak, Menteri Pertanian apabila keduanya menentang Umno. Albar jadi satu-satunya Singa Umno setakat ini kerana tidak terjejas dengan krisis besarnya ketika itu. 

Tetapi PKR belum tentu utuh dalam krisisnya sekarang kerana ia adalah pembangkang yang belum tentu disokong oleh orang atas pagar. Umno ketika disokong oleh semua. 

Maka bolehkah pula Saifudin muncul sebagai Singa PKR telah menjadi hulubalang menghadapi apa yang dikira karenah Khalid Ibrahim? 

Khalid boleh diagak nasibnya. Dia boleh tidak jadi Menteri Besar lagi dan belum tentu berpolitik lagi selepas krisis ini reda nanti. Atau dia ada lagi. Apa pun biarlah Khalid menghadapi risiko atas sikap dan kepercayaannya. 

Tetapi krisis MB Selangor ini memberi risiko besar kepada PKR. Apa jadi pada PAS dan DAP adalah masalah yang mereka terpaksa lalui daripada tempias krisis yang bukan berpunca daripada mereka. 

Beruntunglah jika PKR selamat hingga selepas Anwar Ibrahim mati. Saifudin boleh kekal jadi Setiausaha Agung selagi ada tenaga. Tetapi bagaimana kalau PKR terus susut ahli dan penyokong dan bukan mustahil orang baris depan susut sama? 

Jika ini yang berlaku Saifudin hendak ke mana? 

Hendak kembali ke dalam PAS, dia sudah pukul PAS cukup kuat. Dan dia sudah meninggalkan PAS bersama Fuad Zarkasi, Chik Johan, calon BN Pasir Mas PRU 13 yang tidak menyerahkan borang pencalonannya dulu. Ada dua tiga orang lagi bersamanya keluar PAS masuk Umno. Masa dalam Umno, dia jadi meriam membedil PAS. 

Apabila Anwar dipecat, Saifudin antara beribu orang Umno yang meninggalkan Umno untuk bersama dengan Anwar dan sanggup bersusah bersama lain-lain pejuang reformasi menghadapi tekanan Umno dan Kerajaan. 

Ramai orang lari daripada Anwar dan meninggalkan PKR tetapi tidak Saifudin. Dia gigih dan sanggup menghadapi apa jua badai. Inilah orang yang kita mahu dalam perjuangan. 

Sebagai hulubalang PKR menentang Umno, penampilannya menyerang Umno tidaklah kurang dibandingkan dengan tokoh-tokoh besar PKR seperti Azmin Ali dan lain-lain. 

Jika ditakdirkan PKR tidak dapat bertahan 10 atau 15 tahun lagi ke mana Saifudin hendak pergi? Untuk kembali semula ke dalam Umno? Suatu yang kita fikir tidak sanggup dibuat oleh yang berpendirian kuat sepertinya. 

Jika kita tidak fikir Anwar akan memilih Umno semula, maka rasanya Saifudin tidak tergamak. 

Saya tidak fikir PKR akan menjual diri seperti Parti Semangat Melayu 46, bubar dan beramai-ramai menyertai Umno. 

Tengku Razaleigh sekurang-kurangnya ada harga, dapat kekalkan Gua Msang sehingga ini. Tetapi apa yang didapatinya dari Umno selain daripada ketua di Gua Musang. Mungkin Umno boleh beri sesuatu kepadanya jika kembali kepada Umno sekarang. Jika 15 tahun lagi hendak kembali kepada Umno, dalam usia yang lebih 70 tahun, nak buat apa dan nak dapat apa lagi dalam politik? 

Pilihan yang ada padanya ialah DAP. Ia pilihan yang ada sekarang. Tetapi 15 tahun lagi tak jadi apa-apa juga. 

Saya tidak bersangka buruk kepada PKR dan orang-orangnya. Apa yang dapat kiranya parti berdepan krisis? Apa yang patut bagi menenangkan keadaan. Jaga parti dengan baik. Jangan jadi hulubalang berlebihan! Apa jadi pada Khalid, biarkan dia, tetapi kita yang tinggal ini hendak ke mana?


5] Pakatan Rakyat tidak akan pecah (17 Ogos 2014)

APA jua sikap PAS terhadap kedudukan TS Khalid Ibrahim, sama ada dia dapat dipertahankan sebagai Menteri Besar Selangor lagi atau tidak, tidak akan memecahkan Pakatan Rakyat. 

Janganlah sesiapa bimbang, baik pemimpin PAS yang takut dengan sikap Tok Guru Haji Hadi jika beliau terus berkeras, atau beliau disokong majoriti pimpinan PAS Pusat, atau Khalid Ibrahim terus menyeret PAS dalam sikap kerasnya seperti yang dibimbangkan oleh Husam Musa, atau kerja indah enam tahun musnah oleh empat hari krisis itu seperti yang dibimbangkan oleh Lim Kit Siang atau apa jua kekecewaan PKR atas sikap PAS dan Presidennya, Pakatan Rakyat tidak akan hancur selagi Anwar Ibrahim tidak mati. 

Tidak perlu ADUN PAS hendak lari dari PAS dan tidak perlu pemimpin PAS takut dengan pandangan Presidan dan Mursyidul Amnya, janganlah Kit Siang dan DAP berputus asa tentang masa depan Pakatan Rakyat selagi Anwar Ibrahim ada. 

Katakanlah isterinya tidak dapat menjadi Menteri Besar, katakanlah Khalid kekal juga, Anwar tidak akan biarkan Pakatan hancur. Dia akan pastikan muafakat ketiga-tiga parti itu – PAS, DAP dan PKR – akan kembali rancak dan utuh menjelang PRU14, sama seperti menghadapi PRU13. 

Bukankah Anwar sudah kata, krisis MB itu dan sikap semasa PAS sebelum Khalid dipecat dari PKR, krisis itu tidak akan memecahkan Pakatan Rakyat. Setakat ini, yang boleh menghancurkan Pakatan Rakyat selain Allah ialah Anwar. 

Kalau Anwar hendak menghancurkannya, dengan izin Allah ia boleh hancur. Bukankah politik Langkah Kajangnya yang mengharubirukan warga Pakatan Rakyat semua telah mengancam perpaduan muafakat itu sesama sendiri. Tetapi percayalah Anwar tidak akan biarkan Pakatan mati sebelum dia mati. 

Selain dari Pakatan dan Buku Jingganya adalah harapan terbaik bagi negara dan rakyat untuk membuat perubahan, Pakatan itu juga adalah harapan dan wasilah besar Anwar untuk mencapai cita-cita politiknya bahawa dia akan capai apa yang Mahathir cuba sekat selama ini baik melalui Umno atau pun di luar Umno. 

Bukankah Pakatan Rakyat itu ibarat anak kandungnya seperti juga Nurul Izzah. Seperti bapa-bapa lain dia tidak akan sanggup bunuh Izzah. Dia yang membidani Pakatan, maka dia tidak akan biarkan Pakatan hancur. 

Bagi PAS, falsafah besar perjuangannya seperti yang gariskan pimpinan besarnya Dr. Burhanuddin al-Hilmy bermatlamat mewujudkan tertegaknya di negara merdeka ini sebuah pemerintahan yang berjalan di dalamnya aturan dan peraturan Islam. Ustaz Fadzil Noor dan Ustaz Hadi selalu sebut, Tuhan tidak tanya adakah kita menang pilihan raya, tetapi Allah tanya, adakah kita sudah kerja Islam bagi menghadapi pilihan raya. 

Tidak diidamkan oleh semua Presiden PAS dulu untuk jadi Perdana Menteri atau Khalifah, tetapi keutamaannya bekerja menegakkan pemerintahan yang terlaksana aturan dan peraturan Islam. Menang atau jadi Perdana Menteri itu kerja Allah. 

Akan Lim Kit Siang dan DAP yang dimahunya wujud Malaysian Malaysia dan pemerintahan yang anjal. Dengan politik perkauman yang ada dia tidak terfikir untuk menjadi menteri sebelum mati. 

Berbeza dengan PKR, mahu menang dan perubahan dengan Anwar sebagai Perdana Menteri. Kalau dia biarkan Pakatan hancur atas krisis MB dan Khalid, bukan saja perubahan tidak berlaku, Anwar terpaksa berpuas hati sekadar jadi Ketua Pembangkang dan bekas Timbalan Perdana Menteri. 

Selagi Anwar belum mati, usah bimbang Pakatan akan hancur.


6] Teknikalnya Adun PAS sudah lompat (20 Ogos 2014)

ZAMAN dulu kala memang ada ADUN lompat terutama yang menyertai parti itu sebelum merdeka. Malah empat ADUN Kelantan diculik Umno berhari-hari. Dilepaskan pada hari sidang DUN bagi menghadiri sidang, mereka kembali ke pangkuan parti. 

Lepas krisis PAS pasca BN, selepas wujudnya era pimpinan ulama tiada terdengar MP dan ADUN lompat parti. Tubuh parti lain ada. 

Selepas rampasan kuasa atas kerajaan Pakatan di Perak, ADUN DAP Sekincan menyatakaan malunya dalam ceramah tentang ADUN parti itu dan parti sekutu yang lain lari atau lompat. Dia hormati tiada dari PAS yang lompat. Katanya, PAS tidak lompat kerana mereka ditarbiyah. Parti lain yang lompat itu tiada tarbiyah. 

Hanya dalam krisis Pakatan di Selangor justeru PAS lewat mesyuarat, ada ADUNnya tidak bersama parti atas isu yang menyebabkan krisis itu, bahkan hadir dalam sidang media dengan parti yang sedang berlawan dengan PAS. Jika ada undi tidak percaya terhadap MB sikap PAS masih belum dimesyuaratkan, mereka tidak akan bersama PAS. 

Belum ada keputusan PAS terhadap mereka, tetapi secara teknikalnya mereka sudah seperti lompat. Sekalipun belum menyatakan keluar parti, mungkin masih mengaku PAS, dengan pendirian mereka sebelum PAS membuat keputusan rasmi, mereka telah memihak kepada lawan, dan seolah-olah telah memberi kata dua kepada parti. 

Mengapa wakil rakyat parti yang dikira sebagai pimpinan boleh bersikap demikian? Mungkin tarbiyah yang disebut oleh ADUN DAP Sekincan itu sudah longgar atau pun tarbiyah itu masih ada tetapi ia sudah tidak kelas lagi? 

Tidak pernah sejak era kepimpinan ulama ia meminggirkan keperluan tarbiyah. Ada dalam setiap tingkat parti itu dari atas hingga ke cawangan orang yang amanahkan menangani tarbiyah. Belum ada secara terbuka menyatakan ia sudah bukan lagi parti tarbiyah. 

Jika terbiyahnya sudah tidak sesuai, tiada lagi kelas seperti yang dikehendaki oleh gerakan Islam, tidak ia sekadar tanggungjawab pimpinan yang diamanahkan saja, bahkan ia tanggungjawab sekalian ahli dan aktivis semua tingkat bagi memastikan terbiyah itu sampai kepada ahlinya. Antara tanggungjawab ahli ialah memastikan semua cita-cita PAS itu terlaksana sebaiknya. 

Jika ada kelemahan tarbiyah itu, apa ahli PAS, jawatankuasa berbagai lapisan, MP dan ADUN buat supaya ia memberi kesan? 

Semua gerakan dan pertubuhan Islam ada tarbiyahnya. Semua ada usrah. Bahkan ia dikatakan lebih berdisiplin. Mereka memastikan setiap ahli ikut usrah dan program tarbiyah. Setengah badan dakwah itu mudah melaksanakan program tarbiyah itu kerana terdiri golongan yang sama latar belakang usia dan pendidikan. Bagi yang pernah menerima asuhan akadamik, usrah dan disiplin tarbiyah itu tidak asing untuknya. Mereka muda, tidak ramai, ada asas pada komputer dan laman web. 

Ahli PAS, ada muda, ada tua dan ada yang nak mati. Ada pelajar, ada ulama, ada lulus sekolah atap, nelayan, petani, buruh kasar, pegawai dan saudagar. Nelayan dan petani boleh buat apa saja perintah politik, tapi tidak suka usrah. Tapi pasang bendera PAS di atas pokok kelapa mereka sedia. Musim pilihan raya, bermalam-malam tidak tidur. Jangan kata ia satu bentuk tarbiyah. 

Yang tarbiyah seperti ini jarang tinggalkan parti. Tetapi yang tinggalkan parti itu sudah ada tarbiyah dan tukang bagi tarbiyah. Selemah-lemah PAS ada tarbiyahnya. Tetapi pihak yang disokong itu adakah tarbiyahnya dan adakah ia sebahagian daripada gerakan Islam dan badan dakwah? 

Itulah malangnya orang dakwah dan ikut tarbiyah, sokong Umno dan badan bukan jamaah Islam. Betulkah tarbiyahnya. Jangan jadi macam ulama besar Bani Israil, Balgham Ba’ura didoanya rombongan Nabi Musa a.s. pulang ke Baitulmaqdis terhalang.


7] Mufarakah yang menyusahkan orang lain (26 Ogos 2014)

TIDAKLAH saya hendak membangkit dan memburukkan dua ADUN PAS Selangor yang bercadang mufarakah daripada jemaah Islam kita itu, tetapi sekadar hendak menyatakan bahawa pendirian yang pernah mereka nyatakan dalam saat krisis Embi negeri itu telah menyusahkan orang lain yang berada dalam PAS, yang mereka itu ada latar belakang sejemaah dengan keduanya. 

Ramai mana? Tidak pula didaftarkan kerana PAS tidak perlu mangasingkan orang-orangnya dalam kelompok yang berbeza-beza. Mereka itu ramai. Asal ahli, berbakat dalam perjuangan, solat dan puasa adalah memadai dan boleh diberi kepercayaan. Dipercayai ada dalam semua tingkat parti. 

PAS kira-kira hampir 30 tahun dulu kurang berminat dengannya sekali pun antaranya adalah anak dan menantu orang-orang PAS. Sekalipun PAS itu sudah setengahnya sejak sebelum mereka lahir, tetapi belum masa untuk menjadi PAS kerana belajar, mereka lebih dulu menjadi anggota kumpulan itu. 

Sebagai keturunan orang PAS, tidaklah mereka membawa bendera Umno ke dalam rumah ibu bapa mereka, tetapi mereka sudah ada pandangan dan sikap lain terhadap perjuangan ibu bapa mereka. Sekalipun mereka menyertai PAS dan diberi amanah, tetapi jika bertembung program PAS dengan kegiatan kumpulannya, tiadalah mereka bersama PAS. Dan yang diberi amanah, kurang merancang kegiatan PAS dari mereka merancang kegiatan sendiri. 

PAS setengah negeri tidak memberi mereka peranan penting, memadailah menjadi ahli. Tidak nafikan mereka ada membuat banyak kebaikan dalam jemaah mereka. Mereka buat sekolah Islam yang elok di banyak tempat. Saya tahu itu sekolah mereka, pelajarannya baik, saya hantar anak-anak saya ke tadika dan sekolah rendah mereka. Hingga ada Pemuda PAS di luar negeri bersungut sebagai pemimpin PAS anak saya ke sekolah mereka. Itulah teruknya hubungan sesama Islam apabila berada dalam jemaah yang berbilang-bilang. 

Di Kuala Lumpur, saya memberi peluang dan ruang kepada semua. Antara orang yang membangunkan cerucuk Markaz PAS Pusat Taman Melewar itu adalah jurutera muda mereka. Ketika saya hendak memulakan Harakah, mereka sumbangkan kumputer. Sampai sekarang saya tidak menaruh kesangsian dan terus menghantar cucu ke tadika mereka sekalipun ada PASTI berdekatan. 

Mengapa? Sebab saya mahu hubungan yang selesa dengan orang Islam selain dari Umno. Kalau saya boleh bergaul dengan Umno, mengapa saya tidak boleh menghormati mereka. 

Saya tahu masa itu Ustaz Fadzil acap memberi ingatan kepada penyokong PAS, barang siapa menyertai PAS, hendaklah mereka meninggalkan jemaah mereka. Pandangan Ustaz Fadzil itu adalah membayangkan seriusnya pandangan PAS terhadap jemaah lain yang hendak menyertai PAS. 

Satu pasangan aktivis PAS, anak menantunya orang PAS yang rapat dengan saya, sentiasa bersama dalam kegiatan di Kuala Lumpur pindah ke Kelantan apabila negeri diperintah PAS semula untuk berkhidmat dalam jemaah di situ. Saya dengar dia tidak dilayan oleh orang-orang di situ kerana latar belakang jemaah tadi. Baru-baru ini saya terserempak dengannya di Putrajaya. Dia sudah balik ke Lembah Kelang. Saya diberitahu anak menantu orang PAS itu sudah jadi Umno. 

Masa beredar dan perkembangan pesat dan berubah. Peka atas pengalaman silam jemaah lain itu cair. Jemaah itu acap bertukar baju dan nama. Sekalipun ada sisa kecurigaan itu di tempat tertentu, PAS tidak mengira sangat titik bengik dulu. Mereka yang terjun ke dalam PAS tidak ditakwil lagi sekalipun jemaah lama terus dengan sikap non-partisan dalam politik. 

Tetapi dengan kejadian dua ADUN tadi amat meranjatkan hingga ada yang berfikir kebimbangan lama terhadap kumpulan itu seperti ada asasnya. Ini boleh menyusahkan rakan sejemaah mereka yang istiqamah dalam PAS, susah jika ada yang mentakwil kesetiaan mereka. Itulah yang timbul ekoran daripada sikap keduanya. Saya tetap pilu tentangnya.


8] Jangan keras kepala hingga Selangor dimageran (02 September 2014)

HAL yang saya paling takut kiranya ganti TS Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar tidak dapat diselesaikan segera ialah Selangor dimageran baik oleh Parlimen atau apa-apa juga kuasa yang difikirkan oleh Peguam Negara. 

Kalau hasrat Istana bagi mendapatkan lebih dua calon ditolak oleh PKR/DAP, atau beri saja mana-mana nama ADUN PKR, tuan badan menolak atas apa jua alasan, sementara Istana bertegas mahukan tiga nama juga, penggantian itu akan buntu. 

Macam-macam boleh dicadangkan bagi mencari jalan keluar tetapi jangan sampai berlaku seperti yang terjadi di Kelantan hujung tahun 70-an. Parlimen mengisytiharkan Mageran mengambil alih pentadbiran negeri untuk ditadbirkan oleh kerajaan persekutuan. 

Menteri Besar, Datuk Mohamad Nasir yang kalah dalam undi tidak percaya di DUN sebelumnya dikekalkan sebagai Menteri Besar yang tidak berkuasa. Pentadbiran dijalankan oleh seorang pegawai kanan kerajaan pusat. 

DUN Selangor belum sampai bersidang untuk undi tidak percaya kepada Khalid kerana dia sudah sedia berundur dan sekarang hanya MB sementara bagi meneruskan urusan kerajaan sehingga MB baru dipilih. 

Majoriti ADUN PAS Kelantan sudah meluluskan undi tidak percaya kepada MB-nya, tetapi secara gila-gila. Walaupun PAS telah mengikut proses demokrasi dan perlembagaan tetapi Parlimen boleh mengatasinya. 

ADUN terus ada dan dapat elaun, tapi tak dapat buat apa-apa kerana kerajaan adalah dalam tangan kerajaan pusat. Empat bulan kemudian kerajaan Mageran Kelantan DUN dibubar, pilihan raya negeri diadakan, PAS kalah teruk. 

Janganlah hal yang berlaku di Kelantan itu berulang pula di Selangor kiranya semua pihak berkeras kepala. Sultan tidak rugi apa-apa kalau permintaan baginda tidak dipenuhi, yang tidak dapat buat apa-apa ialah orang yang hendak membuang Menteri Besar dan belum dapat gantikan lagi walau Khalid bila-bila masa sedia kosongkan pejabat. 

Kalau sampai sebulan atau beberapa bulan tidak ada Menteri Besar baru, jika ada sidang Raja-Raja, Khalid juga akan mengiring Sultan. 

Kita mungkin boleh bincang isu undang-undang dan perlembagaan. ADUN PAS Kelantan tidak langgar undang-undang tetapi Hussein Onn dan Dr. Mahathir boleh minta Parlimen daruratkan negeri itu. 

Kalau buntu itu terlalu menyolok mata dan lama, hingga semua orang meluat, jangan salahkan Putrajaya jika ia mengambil langkah seperti di Kelantan dulu. 

Banyak yang tahu bukanlah mudah bagi BN mengambil semula Selangor walaupun Pakatan dalam krisis, tetapi apakah peluang yang baik lagi untuk mengambil semula negeri selain daripada membuat apa yang orang tidak terfikir. 

Jika Selangor didaruratkan, tidak diketahui berapa lama ia ditadbir oleh pusat. Jika dirasakan BN boleh ambil cepat, ia akan adakan pilihan raya cepat. Jika payah untuk mengambilnya, maka dilamakan pentadbirannya. Yang penting bagi BN ialah bagaimana Selangor boleh ditadbirnya baik melalui pilihan raya atau tidak. 

Jika semua keras kepala, seronoklah Umno. 

ADUN PAS Meru dan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani memberitahu saya sebelum meletup isu membuang khalid, dia telah bercakap dalam sidang DUN tentang pelan BN untuk mengambil Selangor seperti Perak. Semua isu yang dicampakkan pada MB itu adalah antaranya. Dia seperti berkata betul. 

Apapun jangan tukar Langkah Kajang jadi Langkah Kiri hingga Mageran berulang. Sekarang semua telah meluat dengan kejadian di Selangor itu.


9] Jangan ingat PAS sahaja yang rugi (03 September 2014)

TS Muhammad Muhd Taib, ahli PAS dan bekas Menteri Besar Selangor mengingatkan kerugian besar bagi PAS kiranya keluar daripada Pakatan Rakyat dan saya yakin beliau pun tahu PAS tidak akan keluar daripada Pakatan kecuali dikeluarkan atau DAP dan PKR keluar daripada Pakatan Rakyat. 

Yang rugi jika PAS terkeluar daripada Pakatan Rakyat atas apa sebab jua, bukan sekadar PAS tetapi semua kerabat kumpulan itu termasuk DAP malah Anwar Ibrahim sendiri. 

Jangan fikir PAS saja akan hilang banyak kerusi, PKR juga akan hilang. PKR tidak boleh bergantung pada undi bukan Melayu saja. Sebahagian daripada undi Melayu masih bersama Umno. Jika berlaku pertandingan tiga penjuru antara BN, PAS dan PKR, jangan fikir PAS yang kalah bahkan PKR juga akan ada yang kalah. 

DAP mungkin dapat pertahankan banyak kerusi kerana tidak bergantung kepada undi Melayu, tetapi ia akan hilang penyokong Melayu di seluruh negara. Melayu Umno memang tidak menyokong DAP. DAP boleh masuk kampung sekarang kerana ia di bawa oleh penyokong PAS. Kalau PAS sudah tidak bersamanya, mungkin ia terpaksa mengambil 50 tahun lagi untuk jadi parti Malaysian Malaysia. 

Masa itu bukan saja Lim Kit Siang sudah mendiang, Guan Eng juga mendiang. Buat Brother Anwar, apa pula ruginya? Almarhum tanpa jadi Perdana Menteri. Yang ikut merasa sedih dengan gara-gara Langkah Kajang sekarang bukan penyokong Pakatan saja, Tun Musa Hitam yang ingin melihat demokrasi itu subur juga terkilan dengan cara politik Selangor ditangani. 

Yang menggelapkan peluang Pakatan bukan kerana PAS akan keluar daripada Pakatan tetapi salah Langkah Kajang yang bukan saja sekadar bagi membuang Khalid Ibrahim tetapi sudah seperti hendak meminggirkan PAS daripada Pakatan. 

PAS sudah menyedari perlunya sokongan Cina dan India sebelum Anwar Ibrahim masuk sekolah rendah. Pengasas dan pemimpin pertama PAS, Haji Ahmad Fuad telah mengingatkan PAS perlu mengambil kira kehadiran bukan Melayu dalam masyarakat Tanah Melayu. Prof. Zulkifli Mohamad, timbalan kepada Dr. Burhanuddin al-Hilmy telah mengusulkan kepada Muktamar PAS supaya membuka pintu PAS kepada keahlian bukan Melayu, tetapi tidak berjaya. 

Sebelum ada Pakatan, semasa Anwar masih dalam Umno, PAS mencari jalan untuk berbaik dengan DAP tetapi tiada laluan. Bahkan ketika masyarakat Cina membuka mata pada PAS dan sedia bersamanya menjelang PRU 1986, PM Mahathir dan TPM Anwar telah mensabotaj pendekatan PAS hingga kecenderungan masyarakat Cina kepada PAS musnah. 

PAS membawa Lim Kit Siang naik ke Markaz Tarbiyah PAS di Taman Melewar sebelum Anwar dan Wan Azizah masuk ke situ. Sebaik Anwar ditahan, mungkin semasa dia pengsan dipukul Ketua Polis Negara, PAS mengepalai pembentukan GERAK menganjurkan perhimpunan besar seluruh negara bersama DAP membantah kezaliman terhadap bekas TPM itu. 

Demikianlah besarnya minat PAS kepada masyarakat bukan Islam sedang semua tahu bukan Islam tidak begitu cenderung kepada PAS kerana pejuangan Islamnya. 

Terima kasih adanya Pakatan Rakyat, PAS suka kepada Cina dan India DAP, dan DAP suka kepada PAS kerana PAS dapat membawa pimpinan DAP jumpa orang Melayu di kampung-kampung. Jika DAP dan Cina tidak suka PAS, PAS tetap sukakan Cina dan India serta DAP, mungkin lebih daripada mereka suka kepada PAS. 

Dari mula PAS tidak berganjak terhadap Pakatan. Cuma rakan Pakatan tidak membantu PAS untuk merongkai perbezaan yang sesungguhnya banyak. PAS tidak dapat beri lebih daripada yang dimampunya.


10] Pakatan mesti bersetuju untuk tidak setuju (05 September 2014)

APABILA PKR tidak setuju Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus menjadi menteri besar Selangor, PAS setuju dia terus menjadi menteri besar. Masing-masing ada sebabnya. Apabila PKR/DAP setuju memberi 1 nama saja kepada istana sebagai calon MB baharu, PAS setuju memberi lebih 2 nama seperti yang dikehendaki istana.

Ia adalah satu dua contoh bagi Pakatan ada yang tidak disetujui sesama sendiri. Di samping banyak disepakati tetapi tidak semua boleh dipersetujui semua. Dalam semua muafakat dan kerjasama tidak semua dipersetujui.

Maka setiap kerabat Pakatan wajar belajar hakikat ini.

Jika semua yang ada pada PKR dan semua yang dikehendaki PKR dipersetujui PAS, maka tiada perlu lagi PAS wujud. Tutup parti dan semua ahli PAS masuk PKR. Jika semua yang PAS mahu dipersetujui Anwar tidak dia membentuk partinya sendiri. Masuk saja PAS selepas dipecat Umno.

Anwar dan DAP setuju kepada parti berbagai kaum, sama-sama anti rasuah dan penyelewengan, mahu menegakkan keadilan dan kerajaan yang anjal. Patutnya Anwar masuk saja DAP atau DAP dibubarkan supaya semua bersama dalam PKR. Tetapi kerana ada yang sama-sama tidak setuju, PKR tidak boleh masuk DAP dan DAP tidak boleh masuk PKR.

Hatta dalam perjanjian Hudaibiyah antara Nabi Muhammad dengan musyrikin Quraisy, ada yang mereka setuju dan tidak setuju. Pertama mereka setuju untuk mengadakan perjanjian. apabila setuju mereka merangka perjanjian. Pertama mereka tidak setuju ialah tajuk perjanjian. Saidina Ali yang merangka menyebut ia adalah Perjanjian Antara Nabi Muhammad dan Quraisy.

Musyrikin menolak tajuk rangka itu menggunakan kalimah Nabi Muhammad. Mereka mahu disebut antara Muhammad dan mereka saja. Nabi pun bertanya, apa beza antara Muhammad dan Nabi Muhammad? Kedua-duanya adalah orang yang sama.

Jawab mereka, mereka tidak menerima Muhammad itu Nabi. Kalau mereka setuju Muhammad itu Nabi dan Rasul, tidak mereka berada di sebelah menentang Nabi, tentulah mereka bersamanya. Nabi setuju padam kalimah yang dipersetujui itu. Saidina Ali enggan memadamnya, lalu baginda sendiri mengambil rangka itu dan memadam kalimah yang tidak disetujui.

Demikian juga DAP tidak setuju dengan konsep negara Islam dan hudud yang dirangka PAS sebelum kewujudan Pakatan Rakyat maka tiada ia disebut dalam perkara yang disepakati setakat ini. Daripada segi logiknya, jika mereka setuju dengan perjuangan PAS tentulah mereka menyertai PAS dan bersama dengan agamanya.

Jika demikian apa yang PAS tunggu? Maka teruskan dengan program dan strategi dakwah, bukan saja terhadap orang bukan Islam bahkan juga terhadap yang lahir sebagai Islam yang belum terbuka hatinya untuk beriman kepada perintah itu.

Apa pun yang paling penting tentang muafakaat yang ada ialah bersetuju mengadakan muafakat bagi mengambil alih Putrajaya dan melakukan perubahan ke arah keadilan dan kebenaran dalam kerangka yang dipersetujui kita banyak perbezaan dan jangan perbezaan itu menghalang untuk mencari kebaikan.

Sedangkan gigi dan lidah lagi tergigit, maka kita tetap setuju gigi dan lidah tidak terpisah. Janganlah kerana takut lidah tergigit kita cabut semua gigi atau kita potong lidah.

Apabila kita tahu kita ada perbezaan, maka jangan kita fikir kitalah raja, kemahuan kita yang mesti diikut, kemahuan orang tidak diambil kira. Sedang sekarang raja pun mendengar rakyat, maka janganlah sesama rakyat hendak jadi macam raja zaman dulu.


11] Mengapa PAS latah keluar Pakatan? (08 Ogos 2014)

SAYA tegaskan lagi, tidak berbangkit PAS keluar Pakatan Rakyat gara-gara krisis sengitnya ekoran kedudukan Menteri Besar Selangor. 

Mursyidul Am dan Presiden PAS menegaskan ketika mula perbezaan terbuka tentang MB itu ialah keutuhan Pakatan Rakyat mesti dipertahankan. 

Itu adalah penegasan semula sikap PAS tentang muafakat itu sejak ia diwujudkan, malah sebelumnya dalam tahaluf siasi sesama pembangkang dalam Barisan Alternatif, yang menggagalkannya bukan PAS meninggal muafakat itu, sekalipun ada masalah, tetapi pihak lain yang meninggalkannya. 

Kita akui bahawa Pakatan Rakyat adalah dalam ujian krisis sengit dan ia dihimpit kiri kanan oleh semua sekutunya, tetapi tidak berbangkit PAS mahu meninggalkannya dan tidak pernah berniat untuk memecahkannya. Krisis dan perbezaan apabila tidak dapat dielakkan, terpaksa dihadapi dan ditangani dengan baik. 

Sesama sahabat Nabi – Saidina Ali Abu Talib dan Muawiyah – kedua-duanya dijamin syurga oleh baginda lagikan pernah berselisih pendekatan, maka apalah pula bagi kita yang 15 kurun jarak dari masa Rasulallah SAW. 

Kita bukan berpakat untuk berbeza, tetapi perbezaan boleh terjadi bila-bila. Itulah yang dinamakan ujian. Ujian adalah hal yang manusia sentiasa hadapi. Lainlah malaikat yang dijadikan tidak untuk diuji dan tidak juga untuk menguji. 

Maka manusia yang dipilih Allah sentiasa dapat menangani ujian dan krisis dengan baik. 

Ada pun PAS bukan berniat keluar Pakatan dan memecahkan Pakatan tetapi PAS mahu jadi sekutu yang berperanan bukanlah seperti lembu yang dicucuk hidung. Sekalipun PAS ditinggalkan oleh semua sekutunya seperti zaman Barisan Alternatif dulu, ia tetap dengan Pakatan sekalipun ia saja yang ada. Maka pemimpin PAS seperti Mohamad Sabu tidak perlu ke sana sini memberitahu ahli PAS akan apa untungnya kekal dalam Pakatan. 

Bukan pemimpin saja yang mahukan Pakatan. Ahli akar umbi pun tahu mereka mahukan Pakatan. Jika tidak tiadalah ahli PAS di kampung-kampung minta Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng berceramah di tempat mereka yang orang Cinanya tidak berapa orang. 

Saya amat yakin dengan kematangan ahli PAS seperti yang pernah ditunjukkan di Kelantan tahun 1990. BN sebarkan poster Tengku Razaleigh pakai tengkolok Kadazan yang ada lambang salib di dahi. PAS Kelantan tak makan taktik itu. 100 peratus mereka memangkah Pakatan Ummah. 100 peratus Pakatan Ummah menang di Kelantan. 

Yang makan pancing ialah penyokong Pakatan Ummah di luar Kelantan. Habis dengan PAS sekali lingkup gara-gara tidak arif berpolitik. Sejak itu PAS di luar Kelantan bertambah matang belajar daripada perkembangan di Kelantan itu bijaksana berkawan banyak dalam politik. 

Pemimpin PAS jangan bercakap seolah-olah PAS tidak mahu Pakatan dan tiada apa untungnya dalam Pakatan. Pemimpin PAS mesti bercakap, jika semua tidak mahu lagi Pakatan, sekalipun seorang diri PAS tetap mahukan Pakatan. Jika ada orang PAS yang tidak mahu berada dalam Pakatan ia adalah orang PAS tumpang atau yang mahu lari ke langit. 

PAS hormati persefahaman seperti Nabi SAW menghormati perjanjian Hudaibiyah. Ia tidak khianat sehinggalah jahiliyah mengkhianatinya. Orang PAS jangan bercadang untuk meninggalkan Pakatan. Yang ada ialah orang suruh PAS tinggalkan Pakatan dan PAS bukanlah jenis orang boleh dan patut disuruh. 

Biarlah orang Melayu latah, tetapi ahli PAS terutama pemimpinnya jangan latah.


12] Di Perak ADUN PR disambar, di Selangor ADUN PAS disambar (10 September 2014)

JUSTERU yang buruk, yang huduh dan yang khianat itu dibangsakan untuk PAS saja, seolah-olah yang lain itu elok, betul dan dipercayai belaka. 

Kita ini semuanya manusia. Semua ada salah dan semua ada silap. Semua ada kebaikan dan semua ada kecantikan. Atas itulah kita berbeza supaya kita berkenalan antara satu sama lain. 

Saya hendak mengelakkan daripada mengata orang lain salah dan kita saja yang benar. Cuma hendak mengenangkan nasib yang menimpa PAS yang menjadi ujian baginya. 

Dulu kita membentuk kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dengan PAS partner minoriti menjadi Menteri Besar. Kita amat rukun. Tiba-tiba tiga ADUN Pakatan Rakyat disambar BN hingga kerajaan itu tumbang. Kita semua kata tindakan BN itu khianat, merampas kuasa dan antara kita kutuk kejadian itu. 

Sampai hari ini kita hiba atas nasib itu. 

Dan sekarang PAS malang lagi. Dua ADUN-nya disambar oleh sekutunya sendiri iaitu PKR. Adakah kejadian di Perak itu tidak sama dengan kejadian di Selangor, sekali pun kejadian di Selangor adalah urusan rumah tangga PR sendiri? 

PKR tentu ada alasan kerana PAS dikira buat tidak betul padanya. Tetapi BN juga boleh beri alasan kerana sebelumnya PKR sambar ADUN-nya dari Bota. Saya tidak mahu memihak kepada BN dalam pengkhianatannya kepada kerajaan PR Perak itu. 

Yang saya hendak kenangkan ialah tentang sambaran di Selangor. Adalah benar PAS mempertahankan TS Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar. 

Dalam apa keadaan PAS menjadikan Khalid sebagai ahlinya walaupun PAS perkenan pada prestasinya memerintah Selangor. Kita percaya Khalid lebih dekat dengan PAS daripada pimpinan PKR. Tetapi mengambil Khalid daripada PKR adalah tidak beradab dan tidak etika terhadap sekutu sendiri. 

Sekarang Khalid sudah dicerai talak tiga oleh PKR. Apakah PAS wajar ambil janda PKR itu? Tunggu idahnya empat bulan sepuluh hari. Jika takut janda berhias itu disambar BN tidak boleh kita selamatkan dia dengan demikian boleh menyelamatkan satu kerusi PR di Parlimen? Tapi Khalid bukan jenis orang jual diri sama ada menyertai parti lagi atau tidak. 

Tetapi PKR balas apa yang BN buat pada pakatan di Perak pada PAS di Selangor. Hingga ini tiada bantahan rasmi daripada PAS atas perbuatan sekutunya dan yang ada orang bawah yang kecewa dengan kejadian itu. 

Apa kata kalau yang disambar itu ADUN DAP? Apakah DAP boleh sabar dan boleh terima? Dan apakah DAP gembira dengan pencurian terhadap ADUN PAS itu? 

DAP sudah banyak pengalaman ADUN dan MP-nya dicuri orang sejak ia berpolitik. Apa rasanya apabila Richard Ho, MP-nya dari Lumut tahun 1969 dicuri MCA? Itu pengalaman pertamanya. Senang-senang Richard Ho jadi menteri selepas itu. Kita simpati pada DAP. 

Kalau PKR boleh sambar YB PAS, apakah ia tidak boleh sambar YB DAP satu hari nanti? DAP jangan jadi seperti pelepah atas seronok tengoh pelepah bawah jatuh. 

Betapa pilu PAS atas dua ADUN-nya yang disambar, tetepi tidak bercadang untuk menuntut seperti Quraisy dalam perjajian Hudaibiyah, menuntut orang Mekah yang lari ke Madinah dipulangkan. Madinah tidak menuntut orang lari ke Mekah dipulangkan. Biarlah mereka gembira dengan orang Mekah. 

Tetapi patutkah setelah tidak dapat MP Sabah dan Sarawak 16 September 2008, ia sambar ADUN sekutunya? Begitukah orang bersekutu, sedang yang buruk dikatakan hak PAS, dan yang lain semuanya elok? 

Saya bukan suruh berpecah. Tetapi buatlah perkara yang tidak boleh berpecah. Iaitu semua ada silap dan semua juga ada eloknya.


13] Masa depan Pakatan, PAS dan DAP (15 September 2014)

TELAH saya berfikir untuk menyatakan masa depan Pakatan Rakyat atau lebih jelasnya pembangkang di Malaysia adalah antara PAS dan DAP. Tetapi saya tidak menyebutnya kerana saya menjaga hati rakan-rakan dalam PKR terutama Brother Anwar Ibrahim yang saya tidak mahu bermasalah lagi dengannya. 

Cukuplah kami sudah tidak berdua selama dia dalam Umno. Sesudah berdua semula selepas itu, janganlah tidak berdua lagi. 

Lama sebelum wujudnya Langkah Kajang, saya sudah mendengar PKR tidak senang dengan Khalid Ibrahim. Saya dapatkan pandangan akar umbi DAP kemungkin giliran PAS pula sebagai Menteri Besar. Maklum balasnya, ia boleh terima jika ganti itu Dr. Rani, ADUN PAS Meru dan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor. 

Saya pernah bayangkan hal itu dalam tulisan saya. Kemudian Langkah Kajang pun meledak dan Pakatan Rakyat bergelora, DAP solid bersama PKR untuk membuang PAS. Saya tidak tahu politik apa yang DAP guna, tidak mengambil apa-apa langkah bagi mengendurkan ketegangan antara PAS dan PKR. 

Imej PKR tidak akan serosak sekarang dalam kalangan rakyat terbanyak jika DAP dapat memberi nasihat yang baik kepada Anwar dan PKR. PAS sekarang huduh pada orang PKR saja, tidak pada orang ramai. DAP tidak sekadar tidak membantu PKR dan Pakatan, ia tidak membantu dirinya sendiri. 

Sekarang Sultan Selangor sudah kata DAP derhaka. Sama ada titah Sultan tepat atau sebaliknya, ia amat disenangi oleh Umno dan sekalian rakyat yang tidak sukakan DAP. PAS tidak dapat mencairkan pandangan negatif umum terhadap DAP seperti sebelum ini. Sebelum ini apa yang Melayu kata tentang DAP, PASlah yang mencairkannya. 

Saya masih kata, DAP masih releven buat PAS. Ia masih dapat bertahan lama sekalipun setelah tiada Lim Kit Siang dan selepas Lim Guan Eng jadi warga emas. Ia akan lebih terserlah jika ia dapat sekutu Melayu yang boleh bersamanya bagi mencabar kekuasaan BN dan Putrajaya. Sekutu yang ada akar umbi ialah PAS. PAS akan ada lama. 

Tetapi PKR tidak boleh jadi sekutu yang penting, kerana pertama tidak jelas siapa yang boleh menjaganya selepas tiada Anwar? Sokongan orang Melayu kepada Anwar dan PKR banyaknya adalah daripada PAS. Apabila Anwar tidak ada, tidak dapat dipastikan sokongan itu. Orang bukan Melayu pula bergantung kepada sokongan yang DAP boleh bantu. Sokongan DAP kepada PKR juga adalah kerana Anwar. Kalau Anwar sendiri hilang sokongan orang Melayu, apa lagi yang DAP harap untuk membantunya lebih dekat ke Putrajaya? 

Jawapannya ialah DAP bukan saja diperlukan oleh PAS, tetapi DAP juga memerlukan PAS. Jika tidak DAP akan balik ke tempat lama bersendirian. PAS dan DAP telah ada sejarah dan pengalaman baik di Perak. DAP amat senang dengan Menteri Besar PAS, Nizar Jamaluddin. PAS tidak pernah mengira apa yang dicapainya di Perak adakah hak dan kepintarannya. Tapi yang terjadi itu adalah atas kerjasama dan kerelaan DAP. Orang PAS terus mahu perlu memerlu antara satu dengan lain seperti di Perak itu perlu disambung. 

Ramai di luar Pakatan mahu PAS menggantikan Khalid, tetapi PAS suka ia dikekalkan untuk PKR kerana ia menjaga hati PKR dan hati DAP. Sekalipun Sultan menerima PAS jadi Menteri Besar tidak banyak PAS bertahan kalau DAP tidak bersedia jadi seperti Perak dulu. PAS tentu tidak mahu mengambil kesempatan daripada sokongan DAP saja kerana ia akan dikira tidak berlaku adil kepada PKR. 

Kalau DAP merasa perlu keluar daripada cap derhaka daripada istana, ia mesti membuat keputusan untuk menenangkan PKR supaya berlunak dengan PAS. Kerana suasana politik yang demikian, masa depan DAP adalah lebih selesa bersama PAS. Tidak mengapa DAP tidak perlukan PAS, tetapi PAS tetap merasa perlu berkawan dengan DAP. DAP jangan buang PKR, tetapi PAS boleh lebih penting.

----------------------------------------------------------------------------------

Akhir kata, selamat membaca, semoga dapat fahami dan hadam segala kupasan yang telah ditulis oleh Pak Subky Latif. Nah, sekarang anda sudah faham pokok pangkal isu yang sedang melanda negeri terkaya di Malaysia ini? Dan saya harap segala kekeliruan dan kekusutan yang telah disandarkan kepada PAS sudah dineutralkan. Ayuh, sekarang kita rapatkan saf semula, fokus kepada musuh kita iaitu Barisan Nasional/UMNO dan berkhidmatlah untuk rakyat marhaen!

Jangan lupa [Follow] facebook Pak Subky di:-https://www.facebook.com/subky.abdullatif
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ARTIKEL POPULAR SEPANJANG ZAMAN

ARTIKEL POPULAR BULANAN

ARTIKEL POPULAR MINGGUAN