FOLLOW HIJABUL CREWZ

Tuesday, 20 April 2010

Jangan Cabar Tujuh Wasiat

Segala puji diangkat ke hadrat Allah SWT. Hamba-Mu ini menzahirkan kalimah kesyukuran atas limpah rahmat dari-Mu Ya Allah yang telah membolehkan hamba-Mu sekali lagi menyambut hari ulang tahun keputeraan dalam keafiatan dan terus bersemayam di takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dalam suasana negeri yang aman lagi sejahtera serta terlindung daripada malapetaka dan bencana. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW, para keluarga dan para sahabat baginda, seterusnya ke atas para tabiin dan para ulama.

Penzahiran kesetiaan oleh Paduka Anakanda Raja Muda, demikian juga ikrar taat setia yang dilafazkan oleh Mamanda Menteri Besar membuktikan terjalinnya kerukunan hubungan di antara takhta dengan para pembesar negeri dan rakyat jelata. Pengucapan tersebut beta tafsirkan sebagai lafaz kesetiaan terhadap institusi Raja Pemerintah kepada sebuah kerajaan.

Seseorang Sultan adalah batang tubuh yang diamanahkan oleh Ilahi untuk memenuhi tanggungjawab tertentu. Yang penting dipertahankan adalah institusi pemerintahan di bumi ini yang telah diwarisi sejak zaman berzaman, institusi pemerintahan yang mempunyai akar sejarah lalu menentukan rupa bentuk dan memberikan wajah kepada budaya berkerajaan dan bernegara, berpaksikan prinsip rakyat beraja – negeri bersultan.

Seseorang Raja Pemerintah itu di samping memenuhi peranan tersurat sebagai payung naungan dan lambang perpaduan kepada warga pelbagai kaum, turut mempunyai peranan secara tersirat yang perlu dilaksanakan dengan sabar lagi tabah, penuh berhikmah lagi bijaksana. Apabila negeri dilanda krisis, kearifan Raja Pemerintah sebagai penimbang tara sangat kritikal. Baginda perlu mengimbangkan secara saksama keperluan pelbagai kumpulan warga. Ia menjadi lebih rumit dalam sebuah negeri yang warganya terdiri daripada pelbagai agama, keturunan dan budaya dengan tahap pencapaian sosial dan ekonomi yang masih mempunyai jurang yang ketara.

Raja Pemerintah di bumi ini wajib melihat perspektif yang luas, menghargai salah silah sejarah negara bangsa dan bertanggungjawab tidak menderhakai Tujuh Wasiat yang telah diamanahkan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia sembilan Raja Melayu ketika memberi perkenan menurunkan tanda tangan kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957. Tujuh Wasiat Raja- Raja Melayu itu berbunyi :
Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami tujuh perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya, selama itulah kamu akan aman dan damai dan selamat sejahtera :

PERTAMA : Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).

KEDUA : Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kami, selain gunung- ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah lima puluh peratus, selebihnya rebutlah bersama kaum- kaum lain.


KETIGA : Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu, selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.


KEEMPAT : Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini.


KELIMA : Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.


KEENAM : Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu.


KETUJUH : Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum- kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak)

Wasiat tersebut diamanatkan menjelang kemerdekaan kepada rakyat-rakyat Melayu yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu. Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, mengekalkan kedaulatan dan kuasa serta kesinambungan kedaulatan negara yang terletak kepada Raja- Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat melalui wakil-wakil sah yang mempunyai locus standi. Dengan itu, Perlembagaan Persekutuan yang digubal telah memaktubkan fasal-fasal tertentu yang memerlukan izin Majlis Raja-Raja sebelum sebarang pindaan Perlembagaan dibenarkan berkuat kuasa.

Formula tersebut yang selama hari ini menjadi gagasan menjamin kestabilan negara, jangan sama sekali mahu dirombak atau cuba dicabar secara keterlaluan. Perbuatan sedemikian dikhuatiri akan menjemput kepada risiko besar yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum dan antara agama.

Kegiatan dan usaha untuk mendapat pengaruh politik perlu ada etika dan batasan. Usaha mendapatkan sokongan politik jangan sampai ke peringkat melanggar sempadan dan cuba merombak apa yang telah sekian lama dipersetujui.

Toleransi sesuatu kaum begitu juga kesabaran penganut sesuatu agama ada batasannya. Perkembangan-perkembangan semasa yang sedang berlaku telah menaikkan suhu politik dan sudah mula menimbulkan keresahan pelbagai pihak. Sedarilah bahawa usaha membina sesuatu kejayaan memakan masa yang panjang, sementara melalui tindak tanduk yang kurang bijak, keruntuhan boleh berlaku dalam sekelip mata .

Dewan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri adalah institusi perundangan negara. Dewan-dewan tersebut dirujuk sebagai dewan yang mulia atau The August House. Ahli kepada dewan-dewan tersebut dirujuk sebagai Yang Berhormat atau The Honourable Member of The August House. Amatlah memalukan jika prosiding dewan-dewan berkenaan berlangsung dalam suasana memekik dan menjerit dengan mengeluarkan kata-kata yang kasar lagi kesat. Adalah satu penghinaan kepada dewan-dewan tersebut jika ahli-ahlinya membawa placard mengandungi kata-kata yang merendah dan menghina antara satu sama lain. Untuk itu, perilaku ahli kepada dewan-dewan tersebut hendaklah menghormati kemuliaan dewan-dewan berkenaan dan mencerminkan sifat seorang yang telah diberi pengiktirafan dengan panggilan Yang Berhormat.

Perbuatan memperkecilkan hingga ke peringkat menghina institusi-institusi perundangan dan badan-badan penguatkuasaan undang-undang, adalah satu perkembangan yang amat tidak sihat. Undang-undang dan institusi perundangan kelihatan hanya diterima dan dihormati apabila keputusan berpihak kepada sesuatu kumpulan.

Di sebaliknya, undang-undang dan institusi perundangan dicerca dan dihina apabila keputusan tidak memihak kepada sesuatu kumpulan. Perasaan kekitaan secara ekstrem telah melahirkan insan-insan yang terlalu taksub kepada kumpulan, lalu bertindak berdasarkan emosi sehingga hilang pemikiran rasional.

Lebih membahayakan, kegiatan menghina negara sendiri dilakukan tanpa segan silu di forum-forum antarabangsa bagai membuka laluan, menjemput campur tangan pihak luar dalam urusan negara sendiri.

Warga yang mempunyai jati diri dan kesetiaan kepada negara bangsanya, hendaklah mempunyai kekuatan pendirian untuk mempertahankan maruah negara bangsanya tanpa sama sekali membenarkan campur tangan pihak luar.

Beta menyeru agar warga menggunakan sebaik-baik kebijaksanaan akal kurniaan Ilahi demi kepentingan masa hadapan negara-bangsa. Tindak-tanduk yang terlalu dipengaruhi emosi berpandukan nafsu, pada akhirnya akan membawa kerugian besar. Masih banyak agenda untuk membela nasib warga yang perlu dilaksanakan. Warga tidak harus dijadikan mangsa persengketaan politik yang bagaikan tidak ada penghujungnya. Segala sumber tenaga, fikiran dan material perlu ditumpukan kepada kerja-kerja yang lebih produktif kepada negara.

Beta hargai sokongan dan persepakatan yang Beta peroleh daripada Paduka Anakanda Raja Muda, Paduka Adinda Raja Di Hilir, kesemua Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Diraja, Orang Besar dan ahli Dewan Negara membantu Beta memenuhi peranan seorang Sultan. Beta menzahirkan penghargaan kepada Mamanda Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, anggota kehakiman dan perundangan, anggota perkhidmatan awam, para ulama dan imam-imam, Angkatan Tentera, Polis Diraja Malaysia, badan-badan beruniform, para penghulu dan Jawatankuasa Kemajuan Kampung yang telah melaksanakan tanggungjawab serta saling bekerjasama untuk memastikan negeri sentiasa berada dalam keadaan aman lagi stabil serta warga berada dalam suasana selamat lagi sejahtera.

Beta amat mengalu-alukan peranan pihak swasta, badan-badan sukarela, badan-badan kebajikan, badan-badan sukan serta warga keseluruhannya yang telah membantu memperlengkapkan usaha-usaha pembangunan yang dirintis oleh Kerajaan Beta .

Kepada Allah SWT, Beta memohon petunjuk dan panduan. Semoga Allah Subhanahu Wata‘ala sentiasa melimpahkan nikmat dan rahmat, perlindungan dan keselamatan kepada Raja, negeri dan warga. Amin, Ya Rabul Alamin.


~Titah Sultan Azlan Shah~


Ingatlah saudara-saudari sekalian walau di mana pihak sekalipun anda berada dalam parti politik, sebagai rakyat Malaysia, tujuh perkara tersebut jangan disanggah.

Saturday, 17 April 2010

Kenyataan PM : Rakyat dah curiga ni...

Laporan media asing yang memetik Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai berkata bahawa Malaysia telah menghentikan bekalan minyak ke Iran adalah tidak betul, kata perdana menteri.



Beliau berkata sebenarnya Petronas terlibat dalam penjualan lani (spot sale) kepada Iran pada pertengahan Mac melalui urusniaga pihak ketiga, tetapi selepas itu tidak ada lagi permintaan terhadap bahan tersebut.

"Tak betul, ia bukan keputusan Petronas sendiri. Ia melibatkan satu jualan lani dan tidak ada lagi keperluan selepas itu, jadi mereka dah tak buat (lagi)," katanya kepada wartawan Malaysia di New York.

"Ia suatu urus niaga pihak ketiga yang dibuat pada pertengahan Mac, bukan sekarang. Saya agak terperanjat apabila perkara ini telah menimbulkan keadaan yang begitu riuh-rendah," kata Najib pada hari terakhir dalam rangka lawatan beliau selama seminggu ke Washington dan New York.

Beliau berkata urus niaga itu semata-mata bersifat komersial dan sekiranya terdapat lagi permintaan bagi penjualan lani, terserahlah kepada pihak yang terlibat untuk menguruskannya.

Laporan media mengaitkan penghentian jualan itu dengan tekanan antarabangsa terhadap Iran berkaitan program nuklearnya serta perkembangan yang berlaku menjelang berlangsungnya Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di Washington minggu lepas yang turut memberi kesempatan kepada Najib untuk mengadakan rundingan dua hala buat julung kalinya dengan Presiden Barack Obama.

Sebelum ini, Najib telah menyatakan bahawa Iran berhak menggunakan tenaga nuklear bagi tujuan aman dan Malaysia tidak akan menyokong program pengeluaran senjata nuklear oleh negara itu.

- Bernama

Boleh percaya ke nie ???

Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Tun Razak kata isu penghentian jualan minyak ini telah diputuskan sejak pertengahan Mac lagi, namun terdapat satu kemusykilan  pada kenyataan beliau. Jika telah diputuskan sejak sekian lama, kenapa baru sekarang diumumkan lebih-lebih lagi selepas pertemuan dengan Presiden Barack Obama.

Huuurrrmm...anda semua ada otak, anda fikirlah sendiri !!!

Saturday, 3 April 2010

Dimana Silapnya Institusi Zakat Dan Baitumal ???

Telah berkata Saidina Umar Al-Khattab : "Berilah zakat kepada seseorang (yang fakir miskin) itu sehingga dia menjadi kaya". Kenyataan yang dimaksudkan oleh Saidina Umar Al-Khattab itu membawa erti pemberian zakat perlu dilaksanakan sehingga tiada lagi orang fakir miskin serta orang fakir miskin itu telah keluar (bebas) dari wilayah kefakirannya itu.


Zakat (زكاة) ialah derma yang wajib diberikan orang Islam yang mampu kepada 8 golongan (asnaf) yang berhak menerimanya. Ia merupakan rukun ketiga dari Rukun Islam.Dari segi bahasa zakat bererti bersih, suci, subur dan berkembang.


Dari surah At-Taubah (09), ayat 103:
(۱۰۳) خُذۡ مِنۡ أَمۡوَالِهِمۡ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيۡهِمۡ إِنَّ صَلاَتَكَ سَكَنٌ لَّهُمۡ وَاللّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu(Muhammad) itu menjadi ketenteraman bagi mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui

Manakala dari segi syarak, zakat ialah mengeluarkan sebahagian daripada harta yang tertentu kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syaratnya.
Kita melihat institusi-institusi zakat negeri masing-masing mendapat kutipan pungutan zakat berlipat-lipat kali ganda saban tahun. Namun, nasib rakyat bawahan atau rakyat kelas ketiga masih tidak berubah. Asyik-asyik muka tu la juga yang pergi terima zakat yang diagih-agihkan. Takder ker yang terima zakat sekali je terus jadi golongan pertengahan(keluar daripada kelompok kemiskinan) ?


Setakat boleh 2-3 ratus sebulan boleh jadi 'kaya' ker ?


Perhatikan riak-riak wajah mereka...Tersenyum gembira mendapat wang yang tak seberapa sedangkan mereka mempunyai hak yang lebih ke atas pungutan hasil-hasil zakat. Yer la, daripada tiada duit...Lebih baik daripada tiada langsung kan...



Jika umat Islam faham dan menunaikan tuntutan itu, ia akan mengurangkan jurang di antara golongan kaya dan miskin.Kini, hasil kutipan zakat yang direkodkan di kebanyakan pusat pungutan zakat negeri kian meningkat.Laporan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) mendapati RM241,966,660.22 zakat dikutip tahun lalu, meningkat 17 peratus berbanding 2008.

Bilangan pembayar zakat tahun lalu meningkat 78,820 orang atau 16.1 peratus tahun lalu berbanding 67,872 pada 2008.Zakat pendapatan kutipan tertinggi, sebanyak RM167,483,687.12 atau 69 peratus daripada jumlah keseluruhan kutipan tahun lalu.
Zakat perniagaan sebanyak RM29,114,257.40 (12 peratus), zakat harta RM25,689,049.19 (11 peratus) dan zakat wang simpanan RM18,373,003.78 (8 peratus).Walaupun jumlah kutipan zakat amat memberangsangkan, masih ada suara-suara sumbang yang mendakwa institusi pusat zakat dan Baitulmal gagal membantu golongan miskin dan asnab.


Sehinggakan seorang ibu tunggal dari Johor sanggup menerima cek bantuan bernilai RM2,000 daripada sebuah gereja bagi menanggung anaknya melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi, ini adalah tamparan hebat kepada umat Islam.Wanita malang itu mendapat 'tajaan' selepas hampa kerana usaha mendapat bantuan daripada pejabat agama daerah, pusat zakat negeri dan wakil rakyat di kawasannya ditolak.Anaknya dikatakan dua kali menolak tawaran melanjutkan pelajaran berikutan masalah kewangan.


Justeru, di mana silapnya pusat pungutan zakat negeri dan Baitulmal bagi membantu umat Islam yang daif dan memerlukan sumber kewangan?Melihat daripada angka kutipan zakat, sepatutnya tiada masalah membantu golongan miskin, anak yatim atau mereka yang memerlukan tetapi sebaliknya berlaku.Pengagihan zakat yang sistematik perlu ditekankan bagi mengelak berlaku sebarang bentuk penipuan atau di salah guna.


Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Berikanlah (melalui sistem zakat) kepada (hamba) segala harta yang dikurniakan Allah s.w.t kepada kamu." (Surah an-Nisa' ayat 39).


Mengenai soal pengagihan zakat yang sering menimbul tanda tanya masyarakat, beliau berkata perkara itu patut diberi perhatian.Masyarakat tidak boleh dipersalahkan jika mempersoalkan mengenai agihan zakat sedangkan kutipan setiap tahun meningkat berjuta-juta ringgit.Mereka yang bertanggungjawab perlu turun padang selain melakukan kaji selidik keperluan masyarakat terutama yang tinggal di kawasan pedalaman.

Kais pagi makan pagi,kais petang makan petang. Malah ada yang lebih teruk, kais pagi tak dapat makan pagi, kais petang pun tak dapat makan jugak. MasyaAllah. Yang lebih teruk lagi, tak terdaya untuk kais di waktu pagi hari dan petang, jadi pun tak dapat makan jugak seharian, kebuluran la jawabnya.


Akhir kata penutup tulisan, semoga pihak yang bertanggungjawab dapat memperbetulkan kembali keadaan dan persepsi rakyat umum dengan mengambil tindakan dan usaha yang lebih proaktif.


Wallahualam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ARTIKEL POPULAR SEPANJANG ZAMAN

ARTIKEL POPULAR BULANAN

ARTIKEL POPULAR MINGGUAN

Widget